Negeri Sembilan Antlers mempamerkan aksi cemerlang untuk mengungguli saingan Sepaktakraw League (STL) 2025 bagi Grand Prix (GP) Negeri Sembilan selepas menumpaskan Johor Tigris pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium N9 Arena, Nilai sebentar tadi.

Sorakan padu ribuan penyokong jelas menyemarakkan perjuangan Negeri Sembilan Antlers yang mempertaruhkan trio Haziq Hairul Nizam selaku tekong, Hafizul Hayazi Adnan (apit kanan) dan apit kiri berpengalaman, Zulefendi Sumari.

Baca Juga:

Servis padu yang dijelmakan Haziq dalam mencari sasaran terbaiknya dan libasan berbisa Hafizul berikutan ketenangan Zulefendi dalam memberikan umpanan jelas menyukarkan Hairul Hazizi Hadzir (tekong),  Teerapat Deechaoren, Mohd Syahmi Syazwan (apit kanan) dan Farhan Adam (apit kiri).

Negeri Sembilan Antlers
Haziq Hairul Nizam

Aksi Mantap Dipamerkan Negeri Sembilan Antlers

Skrip yang hampir sama ketika Negeri Sembilan membenam Perak Bison di separuh akhir semalam apabila mereka tidak membenarkan lawan untuk mengumpul lebih daripada sembilan mata.

Ia jelas dibuktikan dengan kemenangan 15-7, 15-9 untuk menghadiahkan Negeri Sembilan Antlers 32 mata sebagai juara GP di laman sendiri ini.

Negeri Sembilan Antlers

Sementara itu, PDRM Defenders memastikan tempat ketiga menjadi milik mereka hasil kemenangan ‘straight set’ 15-8, 15-7 ke atas Perak Bison.

Saingan seterusnya bakal berlangsung pada 9 hingga 13 Julai ini di Stadium Titiwangsa untuk GP Kuala Lumpur.