Perak Bison meneruskan rentak cemerlang apabila menundukkan Bomba Fighters 2-1 pada aksi kumpulan C Sepaktakraw League (STL) 2025 bagi Grand Prix (GP) Negeri Sembilan yang berlangsung di N9 Arena, Nilai sebentar tadi.
Kemenangan kedua berturut-turut yang dilakarkan itu sekali gus telah membawa Perak Bison ke separuh akhir dimana semalam mereka menundukkan Terengganu Turtles 2-0.
Baca Juga:
- STL 2025 GP Negeri Sembilan: Perak Bison Bermula Baik Tundukkan Terengganu Turtles

- STL 2025: Perak Bison Atasi Kelantan Warriors Untuk Ke Penentuan Tempat Ke-5/6

- Perak Bison Mahu Tampil Lebih Baik Berbanding Musim Lalu – Asyraaf Hadi

Pengendali pasukan, Dzafril Anuar membuat pertukaran apabila merehatkan apit kanan utama, Muhammad Noraizat Nordin untuk membariskan Madzrul Aziq Mat Tahir bersama-sama Kritsada Sungvung dan Aidil Aiman Azwawi.

Manakala Bomba Fighters pula meletakkan kepercayaan terhadap Harith Aiman Hanizam (tekong), Rusdee Leerem (apit kanan) dan apit kiri, Nik Muhammad Afiq Mazlan untuk memulakan saingan.
Perak Bison bagaimanapun tersentak pada set pertama apabila Bomba Fighters tampil dengan lebih baik apabila bangkit daripada ketinggalan 1-4 dan kemudiannya memimpin kedudukan.
Kemasukan Noraizat dan Najmi Syahfiq Anuar pada lewat set pertama masih belum mampu untuk menghalang kemenangan 15-11 buat Bomba Fighters.
Kebangkitan Perak Bison
Set kedua juga menyaksikan Bomba Fighters bermula dengan baik apabila berjaya mendahului naib juara STL 2024 itu dengan kedudukan 8-5.

Namun, regu Perak Bison menyerap tekanan dengan baik untuk kembali mengikat kedudukan 8-8 dan kemudiannya memastikan set kedua menjadi milik mereka hasil kemenangan 15-12.
Set ketiga jelas memperlihatkan dominasi penuh Perak Bison terutamanya menerusi beberapa servis menarik dijelmakan Najmi Syahfiq untuk memuktamadkan aksi dengan kemenangan mudah 15-6.
Dengan kekalahan tersebut, Bomba Fighters menamatkan kempen GP Negeri Sembilan tanpa sebarang kemenangan dan Terengganu Turtles akan beraksi di penentuan tempat ke-5/8.