STFI-India Fighters tidak ketinggalan untuk turut melakar kejutan ke atas Royal Thai Air Force Takraw Club selepas menang 2-1 pada aksi terakhir kumpulan B Sepak Takraw League (STL) Champions Cup 2024 sebentar tadi.
Meskipun ia hanya sekadar perlawanan pelengkap jadual, namun kemenangan STFI-India Fighters ke atas pasukan yang dibarisi pemain-pemain terbaik dunia itu boleh dianggap sejarah buat sepak takraw negara tersebut.
Baca Juga:
- STL Champions Cup 2024: Perak Bison Tambah Duka Royal Thai Air Force
- STL Champions Cup 2024: Selangor Pistons Pamer Aksi Memukau Tewaskan Royal Thai Air Force
- Senarai Penuh Pemain Dalam STL Champions Cup 2024
Arun selaku tekong, Yumnam Akash (apit kana) dan Sorakhaibam yang bertindak sebagai apit kiri jelas tidak menghiraukan reputasi hebat dimiliki Nichakul Seehakai serta Siriwat Sakha di posisi tekong, Pichet Pansan (apit kana) dan Wichan Temkort (apit kiri).
Regu India itu bermula dengan baik dengan mendahului 9-5 tetapi Royal Thai Air Force kemudiannya bangkit dengan cukup bergaya bagi memenangi set pertama 15-11.
Skuad kendalian Pollapart Supakarn itu hampir mengesahkan kemenangan ketika mendahului 14-12 pada set kedua tetapi servis Siriwat tersangkut di jaring dan membolehkan STFI-India Fighters pula mengutip lima mata berturut-turut untuk menang 17-14 sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.
Selain Akash yang cemerlang dalam melakukan rejaman tajam, aksi Arun juga tidak kurang menariknya apabila beliau mendapatkan tujuh servis ‘ace’ sepanjang perlawanan.
Keadaan itu jelas menyemarakkan lagi semangat kem STFI-India Fighters yang akhirnya mengesahkan kemenangan bermakna itu dengan keputusan 15-13.
Mengulas mengenai kemenangan tersebut, Akash tanpa berselindung beliau cukup gembira dengan kejayaan pasukannya kerana pertama kali mereka dapat menundukkan pasukan Thailand.