Suatu ketika kita mungkin menghadapi masalah kesempitan kewangan sehingga terpaksa meminjam dengan kenalan atau ahli keluarga terdekat.

Namun selalu kita mendengar kisah rintihan pemiutang pula terpaksa menagih wang mereka kerana si penghutang sengaja buat terlupa pula.

Menurut mStar, terdapat satu hantaran yang tular di X mengenai seorang lelaki berkongsi pengalaman berdepan situasi di mana individu yang meminjam daripadanya enggan membayar hutang.

Sumber Gambar: Sinar Harian

Difahamkan, pinjaman yang dilakukan itu juga sudah menjangkau tempoh tiga tahun.

“Keluarga saudara hutang aku RM6,000. Masa nak meminjam bukan main janji nak bayar balik. Sekarang dah lebih tiga tahun masih tidak bayar,” ujarnya di laman X.

Lebih mengejutkan lagi apabila dia memaklumkan bahawa pasangan terbabit cuba menggunakan ‘kad agama’ untuk tidak membayar balik hutangnya.

Sumber Gambar: Sinar Harian

Menurut individu itu lagi, isteri kepada saudaranya itu berkata hutang yang dibuat mereka tidak wajib dibayar kerana dirinya tidak solat.

“Isteri dia cakap dalam Islam tak wajib bayar hutang sebab aku tak solat,” luahnya sayu.

Lantaran kecewa dengan jawapan yang diterima, dia kemudian mempersoalkan sama ada saudaranya yang solat lima waktu itu boleh masuk syurga atau tidak kerana tidak menglangsaikan hutangnya.

“Mereka suami isteri kaki solat tapi tak bayar hutang, boleh masuk syurga ke?”soal individu itu.

Luahannya di laman X ternyata menjadi tular sehingga mendapat perhatian netizen.

Ramai yang membidas tindakan pasangan tersebut kerana bukan sahaja mengambil kesempatan ke atas kebaikan orang lain di samping menggunakan agama demi kepentingan peribadi.

“Orang mati syahid pun sangkut sebab hutang. Kalau brother ni suatu hari nanti Allah SWT bagi hidayah dan lengkap solat lima waktu… menjawab la dekat sana,” tulis seorang netizen.

“Lah. Solat tu hutang dia dengan Tuhan la. Ni hutang dengan manusia. Wajib setel sebelum mati,” kongsi netizen lagi.

“Masa kebulur nak pinjam tak pula fikir orang tu solat ke tak,” soal seorang netizen lain.

“Ayat paling panjang dalam Quran adalah mengenai hutang. Nak bagitahu hal hutang ni sangat dititikberatkan, kau tak nak bayar senang-senang cakap hutang tak wajib bayar, ujar seorang netizen.

Tidak kurang juga, ada sebahagian netizen menasihati lelaki tersebut untuk berusaha menunaikan ibadah solat kerana ia adalah tuntutan agama Islam.