Kontinjen Malaysia menyasarkan 33 pingat pada temasya Sukan Asia 2026 yang akan bermula 19 September hingga 4 Oktober nanti di Aichi-Nagoya, Jepun.
Sasaran tersebut diumumkan oleh Chef de Mission (CDM), Yang Berhormat Datuk Wira Mohd Sumali Reduan pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia bagi Sukan Asia ke-20 Aichi-Nagoya 2026 yang berlangsung semalam.

Daripada keseluruhan sasaran 33 pingat itu, kem Malaysia meletakkan komposisi enam emas, tujuh perak dan 20 gangsa yang diharapkan dapat disumbangkan menerusi 13 jenis sukan.
Sukan yang dimaksudkan ialah Akuatik (Terjun), Memanah, Olahraga, Badminton, Berbasikal (Trek), E-Sukan, Hoki, Karate, Pelayaran, Sepak Takraw, Menembak, Skuasy dan Wushu.
6 Pingat Emas Jadi Sasaran Di Sukan Asia 2026
“Sasaran pingat ini hanyalah penanda aras dan titik rujukan untuk kami. Lebih penting, ia bertujuan untuk memberi motivasi kepada atlet supaya melangkaui had mereka, berusaha mencapai potensi penuh dan memberikan yang terbaik dalam setiap pertandingan,” ujar Mohd Sumali menurut sumber laporan Majlis Olimpik Malaysia (OCM).
“Kami mahu atlet bertanding dengan keazaman, keyakinan dan ketahanan, berjuang sehingga ke penghujung dan tidak pernah berputus asa kerana mereka mewakili negara serta bertanding dengan penuh kebanggaan untuk kontinjen Malaysia.”

Untuk Sukan Asia 2026, kontinjen Malaysia terdiri daripada 537 anggota termasuk 352 atlet yang merangkumi 203 lelaki dan 149 wanita, serta 185 pegawai pasukan.
Majlis Penyerahan Jalur Gemilang itu berlangsung di Dewan Jamuan, Casa 4, Majlis Sukan Negara (MSN) dan disempurnakan oleh Yang Berhormat Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan Malaysia.