Skuad hoki Malaysia menempah tempat ke pentas final selepas berjaya menundukkan Korea Selatan 2-1 pada aksi separuh akhir Sukan Asia 2026 yang berlangsung di Gifu Prefectural Green Stadium sebentar tadi.

Azrai Aizad Abu Kamal muncul wira skuad negara selepas beliau menghasilkan kedua-dua jaringan tersebut untuk Malaysia mengulangi pencapaian edisi ke 2010 dan 2018.

Slot Ke Final Sukan Asia 2026 Milik Malaysia

Kemenangan bermakna itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah apabila skuad kendalian Brendan Carolan itu terpaksa menunggu hingga ke suku ketiga untuk mendapatkan jaringan pembukaan.

Gol pada minit ke-40 itu hadir menerusi situasi pukulan sudut penalti setelah Azrai Aizad menguis masuk bola tolakan awal daripada Faizal Saari bagi meletakkan Malaysia dihadapan.

Kelebihan itu sekadar bertahan dua minit sahaja selepas Lee Gangsan yang tidak dikawal pertahanan skuad negara dalam kawasan D mudah menolak masuk bola bagi kembali mengikat kedudukan.

Azrai kembali meletakkan Malaysia dihadapan pada minit ke-45 selepas penyerang berbisa itu menyempurnakan pukulan penalti ‘stroke’ walaupun penjaga gol Korea Selatan, Kim Jae Hyeon sudah dapat membaca arah tolakannya.

Korea Selatan yang terdesak untuk mendapatkan jaringan cuba bermain taktikal ‘Power Play’, namun barisan pemain negara kental bertahan untuk memastikan slot final menjadi milik The Speedy Tigers.

Dengan kemenangan tersebut, skuad negara akan bertemu gergasi Asia, India pada aksi final Sukan Asia 2026 yang dijadualkan berlangsung pada jam 6.00 petang Sabtu nanti. India mara ke final selepas menundukkan Pakistan 4-3 dalam aksi yang turut cukup mendebarkan.