Malaysia mempamerkan semangat juang tinggi untuk menundukkan Pakistan 5-4 pada aksi keempat peringkat kumpulan dalam acara hoki lelaki Sukan Asia 2026 yang berlangsung di Gifu Prefectural Green Stadium sebentar tadi.

Kemenangan penting dilakarkan itu bukan sahaja mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus buat skuad negara malah meletakkan mereka kini di tangga teratas kumpulan B.

Malah ia merupakan kemenangan pertama skuad negara ke atas Pakistan selepas kali terakhir melakukannya dalam saingan Asian Champions Trophy 2023.

Hoki
Kredit Photo : Asian Hockey Federation

Skuad kendalian Brendan Carolan itu sebelum ini menang 7-0 ke atas Uzbekistan serta Oman dan kemudiannya membelasah Thailand 10-0.

Jumlah jaringan yang dicatatkan sedikit sebanyak mencerahkan peluang Malaysia untuk mara ke separuh akhir selaku juara kumpulan B.

Skuad Hoki Malaysia Pamer Kebangkitan

Malaysia tersentak seawal minit ketiga permainan selepas pemain pertahanan Pakistan, Sufyan Khan meledakkan jaringan menerusi pukulan sudut penalti.

Shello Silverius bagaimanapun pantas memadam kelebihan dimiliki Pakistan itu dengan jaringan padang berselang dua minit kemudian untuk kembali mengikat kedudukan.

Faizal Saari menambah jaringan kedua pada minit ke-23 menerusi pukulan sudut penalti, namun Sufyan Khan meledakkan dua lagi jaringan pada minit ke-39 dan ke-43 juga menerusi situasi sama untuk menjadikan kedudukan 3-2.

Enggan melihat lawan terus didepan, Fitri Saari pula tenang menyudahkan peluang ketika situasi pukulan sudut penalti untuk kedudukan 3-3 pada minit ke-45.

Hanya seminit berselang, Sufyan terus membuktikan kemampuan hebatnya dengan gol keempat peribadi untuk kembali meletakkan Pakistan dihadapan.

Kebangkitan terus dipamerkan barisan pemain negara dengan Shello menghasilkan jaringan penyamaan selepas beliau melakukan rembatan padu dalam kawasan D pada minit ke-56.

Sukan Asia 2026: Skuad Hoki Malaysia Tundukkan Pakistan 5-4 Dalam Aksi Penuh Drama
Kredit Photo : Asian Hockey Federation

Azrai Aizad Abu Kamal menjadi wira selepas anak kelahiran Ipoh itu melakukan larian deras ke dalam kawasan D dan kemudiannya melakukan pukulan yang menewaskan penjaga gol Pakistan pada minit ke-57 untuk menghadiahkan kemenangan bermakna buat skuad negara.

China bakal menjadi lawan terakhir skuad Malaysia pada peringkat kumpulan dan kedua-dua negara akan turun beraksi pada 10.00 pagi Isnin nanti.