Aaron Chia-Soh Woi Yik mengesahkan tempat ke suku akhir terbaik acara beregu lelaki Sukan Olimpik 2024 selepas berjaya mencatatkan kemenangan kedua, sebentar tadi.
Ketika semalam gandingan nombor satu negara itu terpaksa beraksi hingga ke set ketiga, hari ini cabaran lebih mudah pada pertemuan menentang wakil dari Kanada, Adam Dong-Nyl Yakura.
Baca Juga:
- Sukan Olimpik 2024: Pearly Tan-Thinaah Hidupkan Kembali Peluang, Atasi Nagahara-Matsumoto
- Sukan Olimpik 2024: Tang Jie-Ee Wei Bermula Baik Tundukkan Wakil Singapura
- Lee Chong Wei Kongsi Kisah Lucu Ketika Beraksi Di Olimpik
Meskipun ia merupakan kali pertama kedua-dua pasangan bertemu, bekas juara dunia 2022 tersebut tidak terlalu berdepan masalah untuk berhadapan dengan pasangan ranking ke-32 dunia itu terutamanya pada set pertama.
Hal ini kerana anak buah Tan Bin Sheng itu berjaya memenangi set pertama dengan keputusan 21-10 hanya dalam tempoh masa 18 minit.
Mungkin disebabkan agak santai pada set kedua, Aaron dan Wooi Yik diberikan tentangan hebat dimana mereka hanya memiliki kelebihan 11-9 pada rehat ‘interval’.
Selepas diikat 12-12, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meningkatkan intensiti permainan dengan serangan bertali-arus dijelmakan untuk mengesahkan kemenangan 21-15 walaupun pasangan Kanada itu cuba untuk bangkit melawan.
Aksi terakhir yang bakal dihadapi oleh Aaron-Wooi Yik ialah berdepan beregu nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang pada perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada malam esok.
Beregu China itu yang turut sudah meraih dua kemenangan dan ini bermakna Wei Keng-Wang Chang dan Aaron-Wooi Yik bakal menentukan juara dan naib juara kumpulan A untuk ke pusingan kalah mati.
Sementara itu wakil tunggal acara beregu lelaki, Lee Zii Jia tidak terlalu berdepan masalah untuk menewaskan pemain Sri Lanka, Viren Nettasinghe 21-14, 21-12.
Beliau akan berdepan Pablo Abian dari Sepanyol untuk aksi kedua yang bakal berlangsung pada Selasa ini.