Aaron Chia-Soh Wooi Yik memastikan mereka pulang dengan membawa pulang pingat selepas menundukkan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada aksi penentuan pingat gangsa yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena sebentar tadi.
Kejayaan yang turut mengulangi pencapaian mereka selaku pemenang tempat ketiga dalam temasya di Tokyo, Jepun pada 2021.
Baca Juga:
- Sukan Olimpik 2024: Impian Final Aaron-Wooi Yik Lebur Di Tangan Beregu Nombor Satu Dunia
- Sukan Olimpik 2024: Aaron-Wooi Yik Atasi Wakil India Untuk Ke Separuh Akhir
- Sukan Olimpik 2024: Aaron-Wooi Yik Jumpa Beregu India Di Suku Akhir
Berdepan lawan yang merupakan pasangan ranking kedua dunia nyata membuatkan Aaron dan Wooi Yik menghadapi masalah terutamanya pada set pertama.
Ia jelas dibuktikan apabila mereka sedikit bergelut untuk memberikan tekanan hingga memberikan ruang buat wakil Denmark itu memenangi set pertama 21-16 dalam tempoh 21 minit.
Momentum baik itu hampir diteruskan oleh Astrup dan Rasmussen pada set kedua dimana mereka di ambang kemenangan dengan mendahului 20-16 pada satu ketika.
Namun, aura kebangkitan luar biasa ditampilkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang dengan tenang dan agresif memadamkan kelebihan lawan itu untuk menang 22-20 bagi mengheret aksi ke set penentuan.
Kemenangan penting dicatatkan itu jelas menyemarakkan lagi api perjuangan bekas juara dunia tersebut yang kelihatan semakin garang pada set ketiga.
Semangat tinggi itu berterusan sekali gus membolehkan Aaron-Wooi Yik memastikan kemenangan menjadi milik mereka dengan kemenangan 21-19 walaupun Astrup-Rasmussen cuba memberikan tentangan sengit pada lewat permainan.
Kejayaan yang bukan sahaja membuka akaun pungutan pingat buat kontinjen negara pada temasya di Paris ini, malah ia merupakan koleksi pingat gangsa kedua berturut-turut buat Aaron dan Wooi Yik.
Sementara itu pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia terpaksa akur dengan kehebatan juara dunia, Kunlavut Vitidsard selepas beliau tewas ‘straight set’ 14-21, 15-21 pada aksi yang berlangsung petang tadi.
Keputusan tersebut menyaksikan Kunlavut akan berhadapan dengan juara bertahan, Viktor Axelsen dari Denmark yang menundukkan wakil India, Lakshya Sen dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Keadaan yang menyaksikan Zii Jia akan bertemu Sen pada penentuan pingat emas yang dijangka berlangsung esok.
Walau apa jua keputusan melibatkan Zii Jia nanti, kejayaan Aaron dan Wooi Yik membawa pulang pingat gangsa memberikan indikasi jelas bahawa badminton sentiasa menjadi harapan kontinjen negara dalam temasya paling berprestij ini