Hasrat untuk melihat Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke pentas final Sukan Olimpik 2024 tidak kesampaian apabila mereka tewas kepada pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang pada aksi yang berlanjutan hingga ke ‘rubber set’, sebentar tadi.

Berdepan lawan merupakan beregu nombor satu dunia, cabaran sukar dihadapi Aaron dan Wooi Yik sepanjang aksi yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena itu.

HYPE
Sempena MAHA 2024, Anda Berpeluang Menang Motosikal Setiap Hari Dengan Kempen AgroMAHA
Baca lagi →

Ia jelas dibuktikan apabila kedua-dua pasangan sering kejar- mengejar mata pada set pertama dan akhirnya menyaksikan Wei Keng-Wang Chang menang 21-19.

Tersentak dengan kekalahan itu, Aaron-Wooi Yik tampil dengan lebih tangkas dan cukup garang pada set kedua untuk menang 21-15 bagi mengheret aksi ke set penentuan.

Skrip seperti set pertama kembali berulang dengan situasi genting dimana gandingan Malaysia itu hanya satu mata dibelakang ketika kedudukan 17-18.

Namun, tiga kesilapan mudah dilakukan jelas menghampakan untuk memastikan slot ke perlawanan akhir menjadi milik pasangan China itu dengan kemenangan 21-17.

Menanti Liang Wei Keng-Wang Chang di pentas final ialah pemenang antara satu lagi aksi separuh akhir yang menemukan juara bertahan, Lee Yang-Wang Chii-Lin dari Chinese Taipei dan wakil Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.

Meskipun impian emas gagal digapai, Aaron Chia-Soh Wooi Yik masih berpeluang untuk mengekalkan pingat gangsa yang dimenangi ketika temasya Sukan Olimpik berlangsung di Tokyo.

Lee Zii Jia kini merupakan harapan tunggal negara untuk merealisasikan impian pingat emas dimana beliau akan turun dalam aksi suku akhir menentang Anders Antonsen pada jam 1.50 pagi esok.