Pearly Tan-M. Thinaah mengesahkan tempat ke suku akhir Sukan Olimpk 2024 selepas menundukkan wakil Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti pada aksi terakhir Kumpulan A yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena sebentar tadi.

Rentak cemerlang yang berterusan tersebut meletakkan mereka sebagai naib juara kumpulan bagi mengiringi gandingan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan selaku juara.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

Masih segar dengan kemenangan ke atas juara dunia dua kali, Wakana Nagahara-Mayu Matsumoto semalam, Pearly dan Thinaah mempamerkan aksi bertenaga walaupun cuba diberikan saingan hebat oleh lawan mereka.

Ia dibuktikan apabila aksi kejar-mengejar hingga menyaksikan kedua-dua pasangan terikat pada kedudukan 17-17. Namun, ketenangan anak buah Rexy Mainaky dan Hoon Thien How itu membolehkan mereka menang set pertama dengan jurang 21-18.

Keyakinan Pearly-Thinaah semakin jelas terserlah dimana mereka mempamerkan variasi pukulan yang berjaya menjerat pasangan ranking kelapan dunia itu.

Keadaan itu nyata membuatkan Apriyani-Siti Fadia berada dalam keadaan tertekan hingga memberikan ruang seluas-luasnya buat Pearly-Thinaah untuk menang mudah 21-9.

Kejayaan manis itu menyaksikan Pearly Tan dan M. Thinaah menjadi wakil ketiga kem negara melangkah ke pusingan kalah mati selepas Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Dua lagi wakil negara iaitu Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei hanya akan beraksi esok pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Zii Jia akan berhadapan dengan Pablo Abian dari Sepanyol manakala Jin Wei bakal menanti cabaran pemain Korea Selatan, Kim Ga Eun.