Lee Zii Jia memastikan empat wakil negara melepasi peringkat kumpulan Sukan Olimpik 2024 di Paris selepas berjaya menewaskan Pablo Abian dalam aksi yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena sebentar tadi.
Kemenangan mudah dilakarkan ke atas wakil Sepanyol itu memberikan ruang buat Zii Jia untuk ke pusingan 16 selaku juara kumpulan G.
Baca Juga:
- Perjuangan Goh Jin Wei Di Sukan Olimpik Paris 2024 Berakhir
- Sukan Olimpik 2024: Pearly-Thinaah Bakal Hadapi Cabaran Kim-Kong Di Suku Akhir
- Sukan Olimpik 2024: Tang Jie-Ee Wei Jumpa Pasangan Korea Selatan Di Suku Akhir
Manakala, Goh Jin Wei mempamerkan semangat juang tinggi pada aksi terakhir sebelum tewas kepada Kim Ga Eun, petang tadi yang sekali gus menggagalkan impiannya untuk ke pusingan 16.
Berdepan lawan yang berada di ranking ke-62 dunia dilihat tidak terlalu memberikan masalah besar buat Lee Zii Jia walaupun Abian cuba menghadirkan saingan terutamanya pada set kedua.
Ia jelas dibuktikan dengan kemenangan 21-10 pada set pertama dan kemudiannya beliau mengesahkan kemaraan dengan jurang mata 21-13.
Kejayaan itu merupakan kemenangan kedua buat Zii Jia keatas pemain berusia 39 tahun tersebut dimana beliau menang ketika Terbuka Hylo 2021 dalam aksi berlanjutan ke set penentuan.
Menanti Zii Jia di pusingan 16 nanti adalah pemenang aksi terakhir dalam kumpul H yang menemukan Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia dan pemain Perancis, Toma Junior Popov.
Sementara itu, tumpuan peminat badminton negara pada jam 3.30 pagi nanti terarah kepada Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei yang akan berhadapan dengan Kim Won Ho-Jeong Na Eun dalam aksi suku akhir acara beregu campuran.