Bekas pemain Bayern Munich dan Borussia Dortmund, Niklas Sule tampil mendedahkan masalah dihadapi sepanjang kariernya di pentas bola sepak antarabangsa.
Pemain bola sepak Jerman berusia 31 tahun itu pernah beraksi dalam dua edisi Piala Dunia, memenangi Liga Juara-Juara serta menjulang lima kejuaraan Bundesliga.
Menurut sumber laporan Marca, Sule berkongsi tekanan yang dihadapi sebagai pemain bola sepak elit, detik paling sukar sepanjang kariernya, pengalaman mengalami serangan panik serta keputusannya mendapatkan bantuan daripada seorang sami Buddha.
Beliau mengumumkan persaraan daripada bola sepak pada usia 30 tahun, namun kembali beraksi beberapa bulan kemudian bersama kelab divisyen kesembilan, Tiefenbach.
Sisi Unik Niklas Sule
Mengulas mengenai kepulangannya ke dunia bola sepak bersama kelab divisyen kesembilan, Niklas Süle menegaskan bahawa:
“Saya tidak mahu lima, enam atau tujuh kru televisyen datang mengikuti saya ketika beraksi dalam perlawanan pertama bersama kelab divisyen kesembilan itu. Saya hanya mahu bermain bola sepak dan menikmati minuman bersama rakan-rakan.”
“Ketika bergelar pemain profesional, saya gemar minum dan makan hamburger. Saya juga terlalu kerap mengambil bir dan makanan McDonald’s.”
“Saya tidak mahu menghabiskan masa selama 15 tahun hanya dengan memberi tumpuan kepada bola sepak. Saya juga mahu menikmati kehidupan. Hidup ini terlalu singkat untuk kita tidak melakukan perkara yang diinginkan.”
“Saya juga bukan jenis individu yang gemar menggunakan media sosial. Saya tidak mempunyai akaun Instagram! Sudah tentu, media sosial mungkin boleh membantu sepanjang karier saya.”
“Saya mungkin berpeluang memperoleh lebih banyak tawaran penajaan. Saya juga pasti kehilangan wang kerana tidak menggunakan media sosial. Namun, perkara itu bukan keutamaan saya.”
“Pada pandangan saya, antara perkara paling buruk yang boleh dilakukan seseorang ialah sentiasa membandingkan diri dengan orang lain. Instagram menggalakkan sikap sedemikian,” jelasnya.