Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa amat kecewa dan sangat dukacita dengan keputusan Malaysian Football League (MFL) serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), berhubung isu penangguhan Selangor FC untuk perlawanan Piala Sumbangsih 2024.

Baginda dalam satu kenyataan rasmi menyatakan terkejut dan kecewa dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang disifatkan tidak serius bersuara, sedangkan beliau sebelum ini merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 dan berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor.

Baca Juga:

Hamidin juga merupakan penerima darjah kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S) daripada Sultan Selangor.

“Beta amat murka dengan keputusan terbaharu MFL ini yang Beta anggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku.

“Pada 5 Mei lalu, satu kes jenayah serangan asid yang mengancam nyawa telah menimpa ikon bola sepak Selangor dan Malaysia, Faisal Halim. Beberapa lagi insiden serangan terhadap pemain bola sepak profesional juga berlaku pada minggu yang sama. Disebabkan itu Beta telah pun memberi perkenan kepada pihak Selangor FC untuk menghantar permohonan penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih kerana para pemain Selangor FC masih dalam keadaan trauma dan ketakutan.

“Bagaimanapun, pihak MFL telah menolak permohonan penangguhan tersebut dan memberi kemenangan 3-0 serta kejuaraan Piala Sumbangsih kepada pihak lawan,” titah baginda dalam satu kenyataan.

Sultan Selangor turut menyifatkan hukuman denda RM100,000 dan bayaran pampasan kerugian seperti diumumkan oleh MFL semalam adalah tidak masuk akal.

“Beta berpandangan bahawa hukuman yang dijatuhkan iaitu denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan (LS14) tanpa penonton adalah tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan.

“Beta telah terlibat dalam arena bola sepak tempatan sejak tahun 1968 semasa zaman FAS diterajui oleh Dato’ Seri Harun Idris sehingga Beta bersara pada tahun 1990, dan dalam tempoh itu belum pernah Beta saksikan keadaan seperti sekarang ini.

“Sukan yang sepatutnya menjadi platform perpaduan antara berbilang kaum dan rakyat, kini telah dicemari dengan keganasan.

“Lebih teruk lagi, MFL dan FAM langsung tidak serius bersuara dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu mengenai aspek keganasan dan kezaliman yang berlaku terhadap pemain-pemain.

“Beta juga amat pelik kerana MFL dan FAM tidak menunjukkan rasa simpati dan belas kasihan terhadap pihak-pihak yang teraniaya dalam isu ini. Harus diingat, apa yang berlaku ini bukan sahaja akan mencemar kredibiliti sukan bola sepak di negara ini, malah boleh membunuh semangat dan halatuju pasukan Selangor FC.

“Beta kini hanya berperanan sebagai Penaung di dalam FAS. Namun jika Beta merupakan peneraju kepimpinan FAS dan Selangor FC, Beta tidak teragak-agak untuk menarik keluar pasukan Selangor daripada Liga Super untuk tempoh masa tertentu.

“Beta ingin mengingatkan sekali lagi bahawa bola sepak adalah sukan yang digemari dan menyatupadukan rakyat Malaysia berteraskan semangat kesukanan yang tinggi.

“Tindakan-tindakan melampau MFL ini langsung tidak melambangkan semangat ini dan hanya akan merosakkan imej industri bola sepak tempatan serta sokongan orang ramai terhadap sukan yang kita cintai ini,” tegas Sultan Selangor.