Bagi anda yang sering bekerja, membeli-belah, atau meluangkan masa di sekitar kawasan tumpuan ramai Bukit Bintang, Kuala Lumpur, ada satu berita gembira yang pastinya akan memudahkan urusan ibadah anda bermula minggu ini.
Melalui satu pengumuman rasmi yang dikongsikan Facebook Outreach Oasis Bukit Bintang (OOBB), kini premis tersebut telah diberi kebenaran rasmi untuk beroperasi sebagai lokasi Surau Solat Jumaat Sementara.
Kebenaran ini diberikan berikutan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan (Khas) Bil.4/2026 yang bersidang pada 8 Jun 2026 yang lalu, di mana pihak berkuasa telah bersetuju untuk memberikan kebenaran solat Jumaat sementara di premis tersebut.
Pelaksanaan Solat Jumaat ini akan bermula secara rasmi pada hari Jumaat, 19 Jun 2026, bersamaan dengan 3 Muharam 1448H.
Inisiatif murni ini dijangka akan mengurangkan isu kesesakan di masjid atau surau sedia ada, sekali gus memberikan lebih keselesaan serta akses alternatif kepada para jemaah di tengah-tengah pusat bandar raya.
Jemputan Buat Seluruh Warga Bukit Bintang & Pelancong
Pihak pengurusan OOBB dengan penuh rasa kesyukuran menjemput seluruh warga sekitar Bukit Bintang—termasuklah para pekerja, peniaga, pelancong domestik mahupun antarabangsa, serta masyarakat setempat untuk bersama-sama hadir mengimarahkan Solat Jumaat di sini.
“Semoga surau ini menjadi ruang yang menyatukan masyarakat, menghidupkan syiar Islam dan membawa keberkatan kepada seluruh warga kota,” kata pihak OOBB.
Di Mana Lokasinya?
Bagi anda yang merancang untuk menunaikan solat di sini, berikut adalah butiran lokasi penuh:
Nama Premis: Outreach Oasis Bukit Bintang (OOBB)
Alamat: No. 1, Jalan Bukit Bintang, Bukit Bintang, 55100 Kuala Lumpur