Kehebatan tekong sepak takraw negara, Syahir Rosdi terus mendapat pengiktirafan apabila beliau mencatatkan ketinggian servis tekongan 2.28 meter, sekali gus diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi kategori “Highest Tekong Kick By Individual”.

Catatan berkenaan dilakukan semalam pada Karnival GenBlu Yamaha yang berlangsung di Setia City Convention Centre, di sini, yang menghimpunkan pengguna dan peminat motosikal Yamaha dari seluruh negara.

Syahir yang turut diperkenalkan sebagai anggota baharu keluarga Yamaha, mencuri perhatian pengunjung menerusi aksi tekongan yang menjadi antara kemuncak program tersebut.

Walaupun aksi tekongan tinggi sering dipamerkan oleh atlet berkenaan dalam gelanggang, persoalan mengenai sejauh mana ketinggian sebenar tekongannya akhirnya terjawab apabila percubaan yang dilakukan semalam berjaya mencapai 2.28 meter.

Servis Syahir Rosdi Diiktiraf

Pencapaian itu kemudiannya menerima pengiktirafan rasmi MBOR sebagai “Highest Tekong Kick By Individual”, sekali gus menjadi satu lagi pencapaian membanggakan buat atlet yang dianggap antara tekong terbaik dunia itu.

Lebih menarik, karnival berkenaan turut menyaksikan penganjuran aktiviti “Sahut Cabaran Tekong Challenge”, yang memberi peluang kepada pengunjung untuk mencuba sendiri aksi tekongan.

Aktiviti tersebut mendapat sambutan luar biasa apabila ribuan pengunjung mengambil bahagian dan mencuba untuk meniru aksi tekongan yang sinonim dengan Syahir.

Program berkenaan turut menerima pengiktirafan MBOR menerusi kategori “Most Tekong Kicks In an Event”, sekali gus melengkapkan kemeriahan Karnival GenBlu Yamaha.

Pengiktirafan berganda itu bukan sahaja menyerlahkan kehebatan Syahir sebagai atlet sepak takraw, malah membuktikan kemampuan sukan tradisional negara itu menarik minat masyarakat menerusi pendekatan yang lebih santai dan interaktif.

Kehadiran Syahir Rosdi di Karnival GenBlu Yamaha turut memberikan peluang kepada peminat untuk melihat dengan lebih dekat aksi seorang tekong bertaraf dunia, selain mencuba sendiri cabaran yang selama ini hanya dapat disaksikan menerusi pertandingan.

Dengan catatan 2.28 meter tersebut, Syahir kini bukan sekadar dikenali kerana aksi tekongannya di gelanggang, malah mempunyai rekod rasmi yang mengukur kemampuan luar biasa itu.