Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) telah menobatkan tonggak utama Malaysia, Muhammad Syahir Rosdi sebagai ‘Tekong Terbaik Dunia’.
Pengiktirafan itu diberikan susulan prestasi cemerlang Syahir yang menjadi salah satu tunjang kepada kekuatan skuad sepak takraw dalam meraih kejayaan manis di peringkat antarabangsa terutamanya pada 2024 dan 2025.
Baca Juga:
- Jadual Penuh Aksi Sepak Takraw Piala TYT Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang 2026

- ‘Dimalukan Di Laman Sendiri’, Sepak Takraw Thailand Umum Rombakan Menyeluruh

- Malaysia Raih Emas Berganda Sepak Takraw Sukan SEA 2025, Ungguli Acara Regu Lelaki

Gelaran ‘Tekong Terbaik Dunia’ ini bukan sahaja menekankan kehebatan teknikal Syahir di atas gelanggang tetapi juga kepintaran taktikal, ketahanan mental dan konsistensi prestasi pada tahap tertinggi.
“Sijil Kecemerlangan Antarabangsa Dianugerahkan kepada Muhammad Syahir Mohd Rosdi,” ujar ISTAF dalam sijil yang dikeluarkan badan induk sepak takraw dunia tersebut.
“Sebagai pengiktirafan atas pencapaian cemerlang dan prestasi antarabangsa yang luar biasa sebagai Tekong Terbaik di Dunia, terutamanya selepas persembahan luar biasa beliau di Piala Dunia 2024, Kejohanan Piala Asia 2025 dan Sukan SEA 2025 dalam Pertandingan Sepaktakraw.”
“Melalui kemahiran teknikal unggul, kecerdikan taktikal, ketahanan mental dan keunggulan kompetitif, beliau sentiasa menunjukkan prestasi di tahap tertinggi Sepaktakraw antarabangsa.”
Syahir Rosdi Inspirasi Pemain Muda
Pencapaian ini mampu menjadi inspirasi kepada generasi muda pemain sepak takraw negara dimana dengan latihan, disiplin, dan semangat juang, pemain Malaysia mampu bersaing dan menonjol di pentas dunia.
Syahir Rosdi pada ketika ini menggalas tanggungjawab Melaka yang menghadapi Kejohanan Jemputan Piala TYT Yang Dipertua Pulau Pinang 2026 di Spice Arena.
Syahir yang bergandingan bersama Azlan Alias, Aekkasit Naphom dan Zaim Razali berjaya memenangi aksi pertama selepas menundukkan Perak 2-1.