Tonggak skuad sepak takraw negara, Muhammad Syahir Rosdi tidak mendabik dada dengan gelaran sebagai ‘Tekong Terbaik Dunia’ yang diterimanya.
Syahir mendapat gelaran tersebut pada awal Januari lalu susulan pengiktirafan yang diberikan oleh Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).
Pengiktirafan itu diberikan susulan prestasi cemerlang Syahir yang menjadi salah satu tunjang kepada kekuatan skuad sepak takraw dalam meraih kejayaan manis di peringkat antarabangsa terutamanya pada 2024 dan 2025.
“Melalui kemahiran teknikal unggul, kecerdikan taktikal, ketahanan mental dan keunggulan kompetitif, beliau sentiasa menunjukkan prestasi di tahap tertinggi Sepaktakraw antarabangsa,” kenyataan dikeluarkan ISTAF pada 6 Januari lalu.
Syahir Rosdi Lebih Merendah Diri
Malah beliau turut cemerlang ketika membantu Malaysia menguasai Sukan SEA 2025 di Bangkok dengan pingat emas dalam acara berpasukan dan regu.
Pencapaian hebat itu bagaimanapun tidak langsung membuatkan Syahir alpa dengan kejayaan tersebut.
Tekong berusia 29 tahun itu sebaliknya melihatkan dirinya masih belum cukup bagus untuk berada sebaris dengan legenda ulung sepak takraw dunia, Suebsak Phunsueb.
Hakikat itu disuarakan sendiri Syahir menurut sumber laporan Bernama.
“Setakat ini saya belum capai lagi kerana jumlah pingat emas yang diperoleh masih belum cukup berbanding beliau.”
“Kami tahu tekong Thailand itu memiliki banyak koleksi pingat emas termasuk pada Sukan Asia dan Sukan Sea.”
“Jadi untuk mengatakan saya sudah sebaris dengannya, itu masih belum lagi,” ujar Syahir Rosdi.