Kecoh baru-baru ini apabila taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) yang baru sahaja beroperasi tiga tahun telah ditutup operasi pada 28 Januari lalu kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Penutupan MAPS ini telah mengumpul pelbagai reaksi di kalangan netizen khususnya para pengunjung yang pernah melawat ke taman tema MAPS ini sepanjang beroperasi.
Terbaharu, Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin maklumkan terdapat dua pelabur terdiri daripada syarikat tempatan dan dari China berminat untuk mengambil alih taman tema MAPS.
Berdasarkan makluman awal, difahamkan pelabur ini sedia mengeluarkan belanja yang besar untuk membesarkan lagi taman tema MAPS mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Sebelum ini, timbul spekulasi dimana penutupan MAPS berikutan tanggungan kos kerugian setiap tahun yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan Perak.
Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memaklumkan penutupan MAPS tidak menjejaskan iklim pelaburan di Perak sekaligus membuatkan pihak mereka mencari jalan keluar yang lebih mantap dan menguntungkan pihak kerajaan.
Setakat ini, taman tema MAPS masih belum mempunyai kata putus atau tarikh pembukaan yang baharu. Sama-sama kita nantikan pengumuman terbaru daripada pihak MAPS dan kerajaan Perak.
Kami kongsikan kepada anda berita lanjut mengenai penutupan MAPS yang diumumkan pada 28 Januari lalu. Turut dikongsikan, strategi Perak dalam mempromosikan tempat pelancongan menggunakan aplikasi TikTok.