Kerajaan memperkenal peraturan baru yang lebih tegas untuk lindungi pengguna dompet digital (e-wallet).
Jika sesebuah syarikat e-wallet gagal memasang sistem keselamatan yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), syarikat itu wajib pulangkan balik semua duit mangsa scam.
Duit itu mesti diganti dalam masa tujuh hari bekerja selepas aduan dibuat, petik New Straits Times.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peraturan ini tetap sah walaupun kesilapan itu datang daripada kecuaian pengguna sendiri.
Kenapa Peraturan Ketat Ini Dibuat Untuk Syarikat e-Wallet?
Peraturan ini dibuat supaya orang ramai rasa lebih selamat guna pembayaran digital dalam kehidupan seharian.
Perkara ini dijelaskan oleh Perdana Menteri di Parlimen bagi menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi, tentang cara kerajaan lindungi mangsa scam.
Menurut Anwar, sistem keselamatan e-wallet dan perbankan internet mesti sentiasa kuat. Jika ada syarikat yang cuai dan tidak ikut arahan BNM, mereka perlu tanggung kerugian mangsa.
5 Langkah Pencegahan Wajib BNM
Bagi mengurangkan risiko penipuan kewangan, BNM telah mengenakan pelbagai syarat kawal selia yang ketat terhadap bank dan penerbit wang elektronik.
Antara langkah keselamatan utama yang wajib dipatuhi termasuklah:
Pengesahan Transaksi Lebih Kukuh: Menggantikan sistem SMS TAC kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat.
Tempoh Bertenang (Cooling-off Period): Diwujudkan untuk transaksi yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi.
Satu Peranti Sahaja: Menghadkan pengesahan akaun kepada hanya satu peranti berdaftar bagi setiap pengguna.
Talian Hotline Khas: Menyediakan saluran komunikasi terus dan pantas untuk melaporkan penipuan.
Ciri Kill Switch: Membolehkan pengguna membekukan akaun mereka dengan serta-merta jika mengesyaki berlaku aktiviti penipuan.
Pemantapan Sekatan Wang Haram melalui NSRC dan NFP
Memetik laporan itu lagi, selain penguatkuasaan terhadap penyedia perkhidmatan, kerajaan turut memperkasakan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), sebuah inisiatif pelbagai agensi yang diselaraskan untuk bertindak pantas terhadap penipuan kewangan dalam talian.
Keupayaan NSRC untuk mengesan dan membekukan dana yang dicuri kini dipertingkatkan lagi dengan pengenalan Portal Fraud Kebangsaan (NFP).
Portal ini berfungsi secara automatik untuk mempercepatkan proses penjejakan dana serta menyekat transaksi yang mencurigakan dengan lebih efisien.
Sebagai rekod, BNM juga telah mengukuhkan lagi perlindungan pengguna pada tahun 2024 melalui penambahbaikan polisi di bawah pendekatan Ensuring Fair Treatment for Victims of Unauthorised e-Banking Transactions (SEFT) demi memastikan mangsa transaksi perbankan elektronik tanpa kebenaran mendapat layanan dan pembelaan yang adil.