Bekas pemilik pasukan Kuantan FA dan Marcerra United telah ditahan di Mahkamah Seksyen Shah Alam selepas selesai prosiding sebutan kes jenayah berkaitan penipuan semalam.
Pemilik bergelar ‘Datuk Seri’ itu ditahan polis setelah didakwa mengingkari perintah mahkamah untuk membayar tunggakan gaji berbaki RM1.4 juta yang melibatkan 46 pemain dan 12 pegawai kelab itu pada tahun 2018.
Baca Juga:
- Seorang Lagi Pemilik Kelab Bakal Dipenjara?
- Gagal Lunas Tunggakan Gaji, Pemilik Kelab Dipenjara 7 Hari
- Kylian Mbappe Semakin Hampir Bergelar Pemilik Kelab Ligue 2
Menurut kenyataan Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM), peguam Mohamad Suhail Rahimi Abdul Razak yang mewakili bekas pemain dan pegawai untuk dua kelab tersebut berkata,
“Penahanan dilakukan mengikut perintah komital yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Februari yang lalu dan Mahkamah yang sama turut memutuskan bahawa individu tersebut perlu dipenjarakan selama seminggu atas kesalahan komital iaitu penghinaan terhadap perintah tersebut”
PENANGKAPAN BEKAS PEMILIK PASUKAN KUANTAN FA DAN MARCERRA UNITED SETELAH MENGINGKARI PERINTAH MAHKAMAH
Seorang bekas pemilik pasukan Kuantan FA dan Marcerra United ditahan di Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas selesai prosiding sebutan kes jenayah berkaitan penipuan hari ini. pic.twitter.com/PN3CA89PHT
— PFA Malaysia 🇲🇾 (@pfamalaysia) October 16, 2024
Tambahan lagi, mahkamah telah memberikan penangguhan selama dua minggu untuk individu tersebut melunaskan tunggakan gaji namun dia mendiamkan diri dan hanya membayar RM600,000.00 setakat pertengahan 2023 dan baki tunggakan sebanyak RM1.4 juta masih berbaki sehingga kini.
Ini kali kedua bekas pemilik tersebut dipenjara kerana beliau pernah ditahan pada bulan Februari lalu. Ia adalah kes saman sivil pertama dalam sejarah bola sepak Malaysia yang membabitkan pemilik kelab.
Menurut En. Suhail, bekas pemilik kedua – dua kelab tersebut akan dibawa ke Penjara Kajang petang ini dan akan dipenjarakan selama 7 hari berdasarkan perintah yang diberikan oleh Mahkamah.
Pihaknya turut akan memulakan tindakan jenayah jika bekas pemilik tersebut gagal melunaskan baki tunggakan yang dituntut.
Izham Ismail selaku Ketua Pegawai Eksekutif PFA Malaysia berkata, perintah tangkapan yang dikeluarkan mahkamah ini merupakan kali pertama bagi kes yang melibatkan tunggakan gaji kelab bola sepak Malaysia.
Perjuangan PFA Malaysia selama tujuh tahun membela nasib pemain Kuantan FA dan Marcerra United di muka pengadilan ini dianggap sebagai satu amaran kepada semua pemilik kelab atau persatuan supaya peka dengan hak dan kebajikan pemain terutama sekali melibatkan tunggakan gaji.