Saingan Liga Super Turkiye sekali lagi mencuri tumpuan apabila tindakan Presiden Istanbulspor, Ecmel Faik Sarialioglu bertindak di luar kawalan.
Hal ini kerana presiden kelab yang kini menghuni tangga terbawah liga itu mengarahkan supaya para pemainnya tidak meneruskan permainan.
Baca Juga:
- Pengadil FIFA Bengkak Mata Ditumbuk Presiden Kelab
- Lelaki Ini Kongsi Itinerari Ke Turkiye Selama 8 Hari Dengan Bajet RM5,380 ‘All In’
- Jalani Ibadah Puasa Di Turkiye, Ini Apa Yang Saya Pelajari Sepanjang Di Sana
Tindakan yang boleh dianggap kurang bijak itu diambil Ecmel Faik kerana pengadil perlawanan, Ali Sansalan tidak memberikan sepakan penalti kepada Istanbulspor.
Ia berikutan kekasaran dilakukan pemain pertahanan Trabzonspor, Batista Mendy terhadap Florian Loshaj dalam kawasan penalti pada minit ke-73.
Tertekan kerana ketinggalan 1-2 dan tidak mendapat sepakan penalti yang diharapkan, Ecmel Faik berada di tepi padang lalu memanggil para pemainnya supaya tidak meneruskan aksi.
Beliau berkeras memaksa pemainnya meninggalkan padang dan masuk ke bilik persalinan walaupun terdapat insiden pemain pinjaman mereka, Simon Deli kelihatan melutut merayu kepada Ecmel Faik Sarialioglu supaya tidak bertindak sedemikian.
Keadaan itu sekali gus menyaksikan perlawanan ke-16 saingan Liga Super Turkiye itu terpaksa dibatalkan.
Istanbulspor pada ketika ini menghuni tangga tercorot liga dengan hanya lapan mata diraih hasil dua kemenangan, dua keputusan seri dan 11 kekalahan yang dialami.
Dalam masa dua minggu terakhir ini, presiden kelab bola sepak di Turkiye menunjukkan ‘belang’ mereka apabila sebelum ini Faruk Koca yang merupakan Presiden Ankaragucu bertindak melulu dengan menumbuk pengadil, Halil Umur Meler sebaik sahaja tamat perlawanan menentang Rizespor.
Insiden yang memalukan tersebut tular di media sosial dan telah menjadi bualan peminat bola sepak seluruh dunia.