Filem aksi automotif ikonik arahan Syamsul Yusof, *Evolusi: KL Drift* (2008), rupa-rupanya mendapat perhatian di luar jangkaan apabila dimuat naik ke YouTube lengkap dengan sarikata bahasa Rusia sehingga berjaya meraih lebih 1.2 juta tontonan.
Video yang dimuat naik oleh saluran *PHOTO GIRL DJ MUSIC MOVIE* itu menggunakan tajuk bahasa Rusia, *”фильм ‘Эволюция: Дрифт в Куала-Лумпур’ (Evolusi: KL Drift 2008) русские субтитры”*.
Penemuan ini menarik perhatian netizen Malaysia yang teruja melihat karya tempatan mampu menembusi khalayak dari negara tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi dilontarkan oleh warga maya tempatan dan luar negara.
Beberapa pengguna Malaysia meluahkan rasa kagum apabila menyedari filem tempatan mampu menarik minat penonton luar negara dan melihat potensi besar sinema tempatan sekiranya dipromosikan dengan sarikata yang meluas.
“Siolll la orang russia pon tengok kl drift… Makannya filem kita boleh jugak la dapat perhatian orang luar, ada POTENSI la kan…. Apa kata lepas ni kome tengok BLOOD BROTHER BARA NAGA pulak.”
“Wow.. tak sangka orang Russia layan movie Malaysia mantap”.
“Serious la orang rusia layan Malaysia movie,” demikian antara komentar yang ditinggalkan oleh netizen Malaysia.
Selain itu, walaupun terdapat kekangan bahasa, penonton luar menyatakan bahawa babak aksi lumba dan gaya pengendalian kereta ‘drift’ dalam filem ini sudah cukup untuk membuatkan mereka terpikat.
Lebih menarik, terdapat penonton dari Rusia yang meninggalkan komen bertanyakan di mana mereka boleh mendapatkan filem sambungan, *Evolusi KL Drift 2*, dalam terjemahan bahasa Rusia.

Ruangan komen turut diwarnai dengan pelbagai usikan penonton berbahasa Rusia yang cuba memahami intonasi bahasa Melayu, selain komen berseloroh mengenai sarikata yang disediakan.
Kejayaan video ini mengumpul angka tontonan yang tinggi membuktikan genre aksi permotoran sentiasa mempunyai pasaran tersendiri yang mampu melangkaui sempadan bahasa dan budaya.