Sebut sahaja tentang destinasi honeymoon, Maldives adalah antara lokasi popular dikalangan suami isteri. Tak dinafikan keindahan pulau-pulau di sana cukup memukau. Tapi bila tengok harga tiket penerbangan, resort dan kos percutian yang boleh mencecah puluhan ribu ringgit, ramai yang terpaksa simpan dulu impian tersebut.
Sebenarnya, anda tak perlu terbang jauh untuk menikmati honeymoon yang romantik. Malaysia pun ada banyak pulau cantik dengan air laut jernih, pasir putih dan suasana yang cukup tenang. Sekali gus memberikan lebih privasi untuk pasangan yang baru mendirikan rumah tangga.
Kalau anda sedang mencari destinasi honeymoon yang indah tanpa perlu menghabiskan bajet yang besar, ini 5 pulau di Malaysia yang berbaloi untuk dikunjungi
1. Pulau Kapas, Terengganu: Tenang… tempat terbaik nak ‘healing’

Vibe: Romantik, tenang dan mesra bajet.
Jika anda dan pasangan gemarkan suasana yang santai berbanding jadual percutian yang padat, Pulau Kapas adalah pilihan destinasi honeymoon yang tepat.
Sebaik sahaja tiba di sini, anda akan disambut oleh air laut hijau zamrud, pasir putih yang lembut serta suasana yang cukup mendamaikan.
Di sini anda boleh luangkan masa berjalan berpegangan tangan di pesisir pantai, menikmati matahari terbenam atau sekadar bersantai sambil mendengar bunyi ombak. Kadang-kadang, honeymoon yang paling indah bukanlah yang paling mewah, tetapi yang memberi ruang untuk benar-benar menikmati masa bersama.
2. Pulau Tenggol, Terengganu: Syurga tersembunyi hidupan laut

Vibe: Eksklusif, indah dan penuh pengalaman baharu.
Bagi pasangan yang gemarkan aktiviti lasak, Pulau Tenggol menawarkan pengalaman honeymoon yang sedikit berbeza.
Pulau ini masih belum terlalu komersial, menjadikan keindahan alam semula jadinya masih terpelihara. Air laut yang jernih serta terumbu karang yang cantik menjadikan Pulau Tenggol antara lokasi terbaik untuk snorkeling dan menyelam di Malaysia.
Gunakanlah peluang ini untuk mencipta kenangan baharu bersama pasangan sambil meneroka dunia marin yang menakjubkan. Kalau bernasib baik, anda juga berpeluang melihat penyu dan pelbagai hidupan laut yang unik.
3. Pulau Mantanani, Sabah: ‘Maldives’ versi bajet

Vibe: Romantik, laut biru kristal dengan pemandangan ala-ala poskad.
Ramai pelancong memilih Semporna sebagai destinasi percutian di Sabah. Anda tahu tak Pulau Mantanani juga mempunyai keindahan yang tidak kurang hebatnya?
Laut biru jernih, pantai dengan pasir putih dan suasana yang damai menjadikan pulau ini lokasi sempurna untuk pasangan menikmati honeymoon.
Selain bersantai di pantai, anda juga boleh menaiki kayak lutsinar, snorkeling atau merakam momen romantik bersama pasangan dengan latar belakang laut biru yang memukau. Menjelang petang, jangan lepaskan peluang menikmati keindahan matahari terbenam di Pulau Mantanani kerana ia terkenal sebagai antara sunset paling cantik di Malaysia.
4. Pulau Aur, Johor: Percutian ala-ala VVIP dalam suasana semula jadi

Vibe: Privasi, eksklusif dan penuh ketenangan
Jika anda mengimpikan honeymoon yang benar-benar jauh daripada kesibukan bandar, Pulau Aur boleh menjadi pilihan terbaik.
Pulau ini terkenal dengan air laut yang sangat jernih serta panorama batuan granit yang unik. Disebabkan lokasinya agak jauh dari tanah besar, suasananya lebih tenang dan tidak sesak dengan pelancong.
Di sinilah anda boleh melupakan seketika kesibukan kerja dan menikmati masa berkualiti bersama pasangan. Tidak hairanlah ramai pengunjung memilih untuk memanjangkan tempoh percutian kerana suasananya begitu mendamaikan.
5. Pulau Sibu, Johor: ‘Slow living’ sambil layan bunyi ombak

Vibe: Romantis, privasi dan penuh terapi alam.
Untuk anda yang mengimpikan suasana honeymoon yang tenang, Pulau Sibu adalah salah satu destinasi yang wajib anda kunjungi.
Pulau ini terkenal dengan resort-resort kecil yang menawarkan suasana lebih eksklusif dan privasi. Anda boleh menikmati sarapan menghadap laut, berjalan santai di sepanjang pantai atau menghabiskan masa berbual sambil ditemani bunyi ombak.
Mungkin kedengaran sederhana, tetapi momen-momen seperti inilah yang selalunya menjadi kenangan paling manis selepas bergelar suami isteri.
Cuti dalam negara pun best!
Malaysia sebenarnya mempunyai banyak pulau yang keindahannya setanding destinasi luar negara. Dengan bajet yang lebih berpatutan, anda masih boleh menikmati bulan madu yang romantik tanpa perlu terbang ke Maldives.
Jadi, untuk percutian pertama selepas bergelar pasangan suami isteri, apa kata anda terokai sendiri keindahan pulau-pulau di negara kita. Selain menikmati percutian yang indah, anda juga turut menyokong industri pelancongan tempatan serta membantu ekonomi komuniti setempat.
Selamat bercuti dan selamat menikmati fasa terindah bersama insan tersayang!