Pengguna lebuh raya di Malaysia kini mempunyai satu lagi pilihan untuk membayar tol dengan lebih mudah menerusi JustGO, sistem pembayaran tol berasaskan teknologi Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) yang telah merekodkan lebih 3 juta transaksi dalam keadaan trafik sebenar.
Pencapaian ini menjadi satu langkah ke arah pelaksanaan sistem tol tanpa palang atau Multi-Lane Fast Flow (MLFF) di Malaysia.
Setakat ini, JustGO tersedia di 93 plaza tol, melibatkan 966 lorong. Pengguna yang telah mendaftar boleh menikmati kemudahan #LaneFreedom, iaitu kebebasan untuk menggunakan mana-mana lorong di plaza tol yang menyokong sistem berkenaan tanpa perlu memilih lorong berdasarkan kaedah pembayaran.
Tak Perlu Pilih Lorong Ikut Kaedah Pembayaran
Menerusi JustGO, pengguna tidak perlu terlalu memikirkan sama ada mereka perlu menggunakan lorong Touch ‘n Go atau RFID ketika melalui plaza tol yang menyokong sistem ini.
Teknologi ANPR yang digunakan akan membaca nombor pendaftaran kenderaan yang telah didaftarkan, manakala bayaran tol dibuat menggunakan kad debit atau kredit yang dipautkan kepada akaun pengguna.
Ini bermakna pengguna tidak perlu menyentuh kad, menambah nilai baki secara berasingan atau memasang peranti tambahan di dalam kenderaan.
Lebih menarik, pendaftaran JustGO adalah percuma dan pengguna masih dikenakan kadar tol biasa.
Menurut salah seorang pengguna JustGO, Victor Lee Wei Han, sistem ini membolehkannya memilih lorong lain apabila berdepan barisan panjang di plaza tol, sekali gus memberikan lebih fleksibiliti ketika perjalanan.
Seorang lagi pengguna, Amirul Hakim Roslan, turut berkongsi bahawa JustGO memudahkannya kerana tidak perlu mengingati kaedah pembayaran yang digunakan ketika memasuki lebuh raya.
Sudah Tersedia Di 93 Plaza Tol

Bagi pengguna yang ingin mencuba kemudahan ini, JustGO kini boleh digunakan di 93 lokasi plaza tol di wilayah tengah, selatan dan utara Semenanjung Malaysia.
Antara lokasi yang disenaraikan termasuk Sungai Buloh, Jalan Duta, Damansara, Shah Alam, Kajang, Seremban, Ayer Keroh, Skudai, Juru, Sungai Petani dan Taiping.
Walau bagaimanapun, pengguna perlu memastikan plaza tol yang digunakan menyokong JustGO sebelum menikmati kemudahan #LaneFreedom.
Pembayaran E-Wallet Bakal Diperkenalkan
Buat masa ini, JustGO menyokong pembayaran menggunakan kad debit dan kredit yang dipautkan kepada akaun pengguna.
Menurut JustGO, pembayaran terus daripada akaun bank dan melalui e-dompet juga dirancang untuk diperkenalkan secara berperingkat.
Syarikat itu turut merancang untuk memperluaskan perkhidmatan ke lebih banyak lebuh raya bagi membolehkan pengguna menikmati pengalaman pembayaran tol yang lebih lancar merentasi rangkaian yang mengambil bahagian.
Perluasan ini juga dilihat sebagai salah satu usaha untuk memperkukuh kesalingoperasian sistem pembayaran tol sebagai persediaan ke arah pelaksanaan MLFF pada masa hadapan.
Macam Mana Nak Daftar JustGO?
Untuk menggunakan JustGO, pengguna boleh memuat turun aplikasinya melalui Apple App Store, Google Play atau Huawei AppGallery.
Selepas itu, pengguna perlu melengkapkan pengesahan identiti, mendaftarkan kenderaan dan memautkan kaedah pembayaran yang ingin digunakan.
Pengguna boleh mula menggunakan JustGO apabila status ANPR kenderaan dipaparkan sebagai ‘Aktif’ dalam aplikasi.
Untuk maklumat lanjut serta senarai lokasi yang menyokong perkhidmatan ini, pengguna boleh melayari laman web rasmi JustGO di justgo.com.my.