England terus menjadi bahan jenaka dalam temasya UEFA Euro 2024 dimana mereka gagal untuk menewaskan Denmark dan hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan C awal pagi tadi.

Pasukan yang dipenuhi ramai pemain bintang itu membuka tirai jaringan menerusi Harry Kane namun gol penyerang Bayern Munich itu segera disamakan oleh Morten Hjulmand sekaligus kedua-dua pasukan meraih satu mata.

Baca Juga:

Keputusan ini nyata mengundang cemuhan dan juga kritikan dimana bekas pemain skuad kebangsaan Republik Ireland, James McClean menganggap pasukan itu sebagai tidak sedar diri dan terlalu sombong.

“Setiap kejohanan besar, selalu ada sanjungan tinggi dari media mengenai mereka. Apa yang media tulis selalunya melampau. Untuk sebuah negara yang hanya menang Piala Dunia sekali dan tidak pernah memenangi Euro, mereka sombong dan tidak sedar diri.

“Sebelum kejohanan bermula, mereka sering mengatakan bahawa mereka akan memenangi kejohanan ini. Mereka perlu bertenang dan tidak meletakkan sasaran yang melampau,” katanya.

Pada masa sama, McClean turut mengkritik salah seorang pemain tengah England iaitu Declan Rice dimana beliau menganggap pemain Arsenal itu sebagai overrated.

“Saya rasa Declan terlalu mendapat banyak pujian. Jangan salah faham, dia seorang pemain yang bagus. Tetapi cara media Inggeris mengangkat beliau adalah keterlaluan.

“Bagi saya dia bukan pemain berkelas dunia. Sekiranya dia berkelas dunia, dia akan bekerja lebih keras di atas padang. Kita lihat pemain seperti Rodri dan Toni Kroos. Mereka mengawal tempo perlawanan dan merupakan pemain kelas dunia. Namun Declan gagal berbuat demikian,” tambahnya.

Pengendali The Three Lions, Gareth Southgate turut mendapat kritikan kerana tidak menurunkan dua pemain muda terbaik dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Kobe Mainoo dan Cole Palmer yang menjaringkan 21 gol untuk Chelsea dalam EPL musim lalu.