Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan seorang lelaki warganegara Pakistan dalam tempoh 24 jam selepas tular video kenderaan berlogo jabatan dan dipasang lampu mata arah yang dinaiki warganegara asing.
Serbuan yang dijalankan pada 9 Ogos lalu di Setapak dan Jalan Kuching turut membawa kepada penahanan sembilan lagi warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen, petik kenyataan rasmi.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Dato’ Zakaria bin Shaaban, pemeriksaan awal di sebuah kondominium menahan suspek utama bersama seorang wanita warga Indonesia yang tinggal lebih masa. Pihak berkuasa turut merampas dua pasport milik individu lain di premis tersebut.
Susulan tangkapan itu, pihak JIM mengesan kenderaan Toyota Hilux berkenaan di sebuah kedai cuci kereta di Jalan Kuching. Pemilik kenderaan yang juga warga Pakistan ditahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, manakala lapan pekerja kedai berkenaan (warga Bangladesh, Pakistan, dan India) ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Hasil siasatan mendapati video tersebut dirakam pada April 2025 dan baru dimuat naik oleh isteri suspek menerusi status WhatsApp dari Indonesia pada 7 Ogos.
Pemilik kenderaan mengaku memasang logo JIM dan lampu mata arah untuk kegunaan peribadi dan mendakwa tidak mengetahui ia melanggar undang-undang.
Pihak JIM menegaskan tiada kompromi terhadap penyalahgunaan logo atau identiti jabatan yang boleh mengelirukan awam atau menjejaskan imej jabatan.