Siapa sahaja yang tidak kenal dengan jenama Sambal Nyet keluaran pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming. Sejak pengenalan produk terbaharunya iaitu Sambal Nyet Bilis, sambutan yang diterima memang sangat luar biasa.
Namun, di sebalik kejayaan jualan yang sentiasa licin dalam masa beberapa minit, timbul satu isu yang membelenggu ramai pembeli sebenar iaitu kehadiran kumpulan ‘scalper’ yang memborong dan menjual semula produk tersebut dengan harga tinggi.
Luahan Hati Pembeli Yang Kecewa
Baru-baru ini, tular di aplikasi Threads apabila seorang pengguna meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap lambakan scalper yang mengambil kesempatan ke atas Sambal Nyet Bilis.
Menurut individu tersebut, harga yang dijual semula melambung tinggi sehingga mencecah RM25 bagi setiap botol.
Lebih menghangatkan keadaan, individu ini turut mempersoalkan tanggungjawab Khairul Aming berhubung isu tersebut.
“Khairul Aming tak perasan atau sekadar tak peduli? Ya, memang selagi ada permintaan pasti wujud scalper.
Tapi ini sudah melampau,” tulis individu berkenaan. Malah, dia secara sinis menganggap situasi yang berlaku ini seakan-akan satu model perniagaan dari sudut pandangannya sendiri.

Jawapan Padu Dan Realistik Khairul Aming
Teguran berbaur sindiran itu akhirnya mendapat perhatian Khairul Aming sendiri. Menariknya, beliau tidak melenting secara emosi, sebaliknya memberikan respon yang cukup padu, telus, dan menjurus kepada realiti sebenar.
Bagi Khairul Aming, kata-kata yang dilontarkan dari sebalik papan kekunci itu seolah-olah menuduh beliau sengaja membiarkan perkara tersebut berlaku demi keuntungan.
“Sambal tu dah dekat tangan dia, apa saya boleh buat. Takkan saya nak pergi ketuk pintu rumah dia. Saya tak kenal pun siapa yang jual balik tu,” jelas Khairul Aming.
Beliau memohon agar orang ramai faham bahawa bukan semua perkara boleh dikawal olehnya. Dalam masa yang sama, beliau turut meminta individu tersebut memberikan cadangan yang bernas.
“Tolong beritahu saya apa yang boleh dibuat, kemudian saya akan gunakan penyelesaian anda,” tambahnya lagi, membuktikan beliau terbuka menerima kritikan jika ia didatangkan bersama solusi yang logik.
Realiti Di Luar Kawalan Pengeluar
Jika kita fahami situasi ini dengan lebih mendalam, jawapan balas Khairul Aming ini sarat dengan sisi kemanusiaan seorang peniaga. Beliau dan pasukannya sudah berhempas pulas memberikan yang terbaik untuk menghasilkan produk bagi memenuhi permintaan ramai.
Namun, apabila urus niaga selesai dan produk bertukar tangan, kuasa pengeluar itu secara logiknya sudah terhenti di situ.
Kekecewaan pelanggan yang terlepas peluang membeli pada harga asal memang mudah untuk difahami. Pun begitu, kita juga perlu bersikap adil kepada penjual.
Isu scalper adalah barah dalam ekonomi yang menimpa hampir semua produk laku keras di dunia. Mungkin jalan penyelesaian paling mudah buat masa ini terletak di tangan kita sendiri iaitu sebagai pengguna, berhentilah membeli daripada scalper agar permintaan yang tidak sihat ini dapat dihentikan sepenuhnya.