Aaron Chia-Soh Wooi Yik menoktahkan momentum cemerlang mereka di Ningbo, China dengan mengesahkan kejuaraan Kejohanan Badminton Asia 2025 menjadi milik mereka, sebentar tadi.

Kejayaan manis itu hadir selepas pasangan ranking keenam dunia itu membenam cabaran wakil tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi dalam aksi ‘straight set’.

Ia merupakan kemenangan ketiga dilakarkan pasangan negara itu ke atas Bo Yang-Liu Yi dalam empat pertemuan melibatkan mereka.

Aksi ditampilkan Aaron dan Wooi Yik jelas cukup memukau dengan corak serangan dan bertahan yang nyata tidak mampu dikekang Bo Yang-Liu Yi.

Ia juga sekali gus menebus kehampaan Aaron-Wooi Yik yang muncul naib juara pada edisi 2022 di Filipina serta meraih tempat ketiga edisi lalu.

Berdepan lawan yang mendapat sorakan padu penyokong jelas tidak langsung dihiraukan oleh anak buah Rexy Mainaky dan Herry Iman Pierngadi itu untuk menyerap tekanan dengan baik.

Mendahului 11-9, kedua-dua pasangan sempat terikat 15-15 sebelum Aaron-Wooi Yik dengan tenang memimpin permainan untuk menang 21-19.

Set kedua juga menyaksikan saingan sengit diberikan dimana Aaron-Wooi Yik sempat ketinggalan 8-12 pada satu ketika, namun satu demi satu mata diraih yang akhirnya memihak gandingan Malaysia itu untuk mengesahkan kejuaraan dengan kemenangan 21-17.

Dengan kemenangan manis tersebut, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai $37,000 (RM163,715.99).