Seorang rakyat Malaysia bukan Islam, P Tanabalan, 37, mengucapkan terima kasih kepada orang ramai kerana memberi sokongan kepada beliau yang bermotosikal sampai di Madinah baru-baru ini.

Beliau menyertai kembara motosikal ke Makkah bersama 18 individu lain sejak 20 Mac lalu berjaya tiba di Madinah pada Sabtu selepas 40 hari ekspedisi tersebut.

Baca Juga:

@tanabalan1987

terima kasih kepada semua yang sokong saya , saya berjaya juga membawa motorsikal Dari Malaysia ke Arab Saudi (madinah) #tenaganasionalberhad #camperv #nvog #ketuamenterimelaka #melakatourism #jelajahsilaturrahimmalaysiakemekah

♬ original sound – Tanabalan1987 – Tanabalan1987

“Selamat sampai di Madinah dengan motosikal, ini matlamat utama saya menyertai Jelajah Silaturahim.

“Saya berjaya lakukannya, ramai saudara Islam dan rakan-rakan membantu dari segi kewangan untuk melancarkan perjalanan. Terima kasih kepada semua yang membantu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, beliau amat gembira menyertai Jelajah Silaturahim tersebut walaupun baru kali pertama mencuba bagi jarak perjalanan yang jauh.

Sebelum ini beliau pernah mengembara secara solo dan berkumpulan dengan menaiki motosikal ke Sabah, Sarawak, Brunei, Indonesia (Kalimantan), Thailand, Laos, Vietnam dan Kemboja.

Jelas beliau lagi, ini merupakan kembara paling jauh dan mempunyai cabaran tersendiri namun menyeronokkan.

“Ada lokasi tidak dibenarkan orang bukan Islam masuk, saya tidak akan pergi.

“Macam kembara ini sepatutnya ke Mekah tapi saya hanya mengikutinya sampai di Madinah bagi melihat bangunan dan budaya masyarakat Arab,” katanya.

Tanabalan juga mendapat sokongan dan pujian daripada majikannya Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas kejayaannya menyelesaikan ekspedisi tersebut.

“Tahniah Encik Tanabalan a/l Paneer Selvam (Pembaca Meter TNB) atas kejayaan beliau dalam pengembaraan ke Madinah Al-Munawarah dengan selamat!

“Kami sangat berbangga dengan semangat beliau untuk menjelajah tanah suci dan melihat budaya di Madinah dengan menunggang motosikal bersama rakan-rakan muslim yang lain! Didoakan agar beliau sentiasa sihat dan dipermudahkan urusan,” petik hantaran Facebook TNB Careline.

Menerusi satu hantaran komen di salah satu video TikTok, Tanabalan memberitahu beliau mendapat cuti selama 100 hari.