Perodua berjaya mewujudkan suasana hype untuk Bezza, model kesebelas syarikat di dalam tempoh 22 tahun operasi. Buktinya kereta kompak sedan pertama keluaran Perodua itu menerima sebanyak 4,028 tempahan di dalam tempoh 5 hari sahaja. Jumlah tersebut merangkumi 50% untuk model 1.3 Advance, 35% model 1.3l Premium X manakala 15% model 1.0l Automatik dan Manual.
Berikut merupakan 5 tanggapan awal susulan majlis pelancaran Bezza:
1. Memang berbeza.
Bezza sememangnya berbeza dengan apa yang pernah ditawarkan Perodua sebelum ini. Walaupun diasaskan dari model Axia, namun ianya tidak nampak seperti sebuah Axia yang disedankan. Dari luaran tim pereka berjaya mengolah semula Axia untuk menjadikan Bezza sebuah sedan yang tersendiri. Ianya nampak seperti sebuah sedan yang sempurna melalui proportion (perkadaran) badan yang seimbang pada bahagian depan, sisi dan belakang.
2. Bonet belakang luas.
Ini adalah antara faktor utama kenapa Bezza menerima sambutan hangat dan bualan ramai. Sebuah Perodua dengan bonet yang sempurna. Melalui ‘permainan’ ruang, tim pereka berjaya menyorok bonet yang luas hinggakan apabila ianya dibuka, terasa seperti magik dari mana ruang sebesar itu datang. Saiz 508 liter untuk sebuah kereta sedan kompak adalah suatu yang mengagumkan.
3. Kompromi interior.
Dari awal, model ini disasarkan pada harga mampu milik dan beberapa aspek perlu dikompromi. Kemasan interior Bezza biasa-biasa sahaja jika dibandingkan dengan Perodua Myvi. Kerusi belakang jenis bench mempunyai kurang lekuk atau kontur untuk menyokong badan penumpang dewasa. Walau bagaimanapun, ruang kaki belakang tidak terhad susulan saiz kerusi depan yang secukup rasa. Sama seperti Axia, stereng tidak boleh dilaras ke bawah manakala kerusi penumpang depan dan pemandu varian 1.0 tidak boleh di laras untuk turun dan naik. Terasa janggal untuk saya dengan ketinggian 177cm.
4. Sistem Eco Idle.
Penggunaan teknologi ini memang mengejutkan. Teknologi yang mampu menghentikan operasi enjin sewaktu melahu secara automatik ini biasanya dipasangkan pada kereta yang berharga ratusan ribu dan tidak sangka Perodua mampu menawarkan pada varian Advance dengan harga sekitar RM50 ribu sahaja. Penggunaan teknologi ini dijangka memberi tekanan kepada pengeluar lokal atau asing sama seperti Perodua yang akhirnya berjaya mendapat skor 5 bintang ujian pelanggaran ASEAN NCAP melalui Bezza Advance selepas beberapa pengeluar mencapai skor tertinggi itu.
5. Pelbagai guna.
Walaupun Bezza adalah sebuah sedan kompak namun saya boleh membayangkan pelbagai fungsi untuk menepati gaya hidup pembeli. Saiz bonet yang luas membolehkan rakyat menyahut seruan kerajaan supaya mencari pendapatan kedua. Bonetnya boleh mengisi barangan jualan untuk berniaga hujung minggu di pasar flea atau jualan bonet. Pelbagai stok boleh diisi seperti pakaian serta penyangkutnya, kasut dan meja lipat kecil. Bukan setakat itu, ianya sesuai untuk digunakan sebagai kenderaan perkongsian jika anda berminat untuk menggunakan aplikasi UBER, Grab atau seumpamanya. Malah sekarang ini kerajaan di dalam proses membuat kajian untuk melesenkan khidmat itu secara sah. Jika tidak khidmat perkongsian pun, Bezza sangat sesuai untuk dijadikan teksi atau kereta sewa. Operasi ekonomikal menyumbang kepada overhead rendah dan lebih perolehan bersih kepada pemilik.
6. Poin bonus.
Perodua Bezza dihasilkan oleh Perodua dengan kerjasama Daihatsu. Model Perodua seperti Myvi telah dijenamakan semula sebagai Daihatsu Sirion di Indonesia. Dengan pakejing Bezza, model ini dijangka akan menembusi pasaran negara membangun dengan lebih meluas lagi. Suatu yang membanggakan jika menjadi realiti – rekabentuk anak tempatan digunakan semula oleh pengeluar dari negara maju. Selepas Keon berjaya menaiki pentas pertama di dua pusingan Moto3, kini Perodua pula mendaki pentas global. Tahniah Yob!