Penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez menggesa Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) menurunkan harga tiket perlawanan antarabangsa bagi memastikan stadium kembali dipenuhi penyokong selepas Lionel Messi tidak lagi bersama pasukan kebangsaan.
Desakan itu hadir selepas Argentina mencatatkan kehadiran penonton yang mengecewakan dalam dua perlawanan persahabatan terbaharu mereka.
Walaupun berjaya membelasah Costa Rica 7-0 di Estadio Mario Alberto Kempes, Cordoba, Argentina hanya menarik kira-kira 42,000 penonton daripada kapasiti keseluruhan 57,000 tempat duduk.
Lebih mengejutkan, hanya sekitar 21,000 penyokong hadir menyaksikan kekalahan 1-2 Argentina kepada Uruguay di La Bombonera, tiga hari sebelumnya.
Martinez percaya pihak pengurusan perlu melakukan sesuatu untuk mengembalikan hubungan erat antara penyokong dengan pasukan kebangsaan, termasuk menjadikan harga tiket lebih mampu milik.
“Kami mahu bermain di stadium yang lebih penuh. Mungkin kita perlu menganjurkan inisiatif amal untuk memenuhi tempat duduk di stadium.
“Kami perlu membuatkan penyokong kembali jatuh cinta dengan pasukan ini. Kami tahu Leo tiada di sini dan sudah tentu ramai yang mahu datang untuk melihat dia bermain.
“Tetapi pada akhirnya, ini adalah pasukan kebangsaan Argentina dan kami memerlukan sokongan serta kasih sayang daripada mereka,” katanya.
Penjaga gol itu turut menegaskan tanggungjawab mengembalikan kehadiran penyokong bukan terletak kepada pemain semata-mata, sebaliknya turut melibatkan barisan kejurulatihan dan pengurusan persatuan.
“Kami semua mempunyai tanggungjawab, sama ada pemain, barisan kejurulatihan mahupun pihak pengurusan, untuk memastikan perkara itu berlaku.
“Tunjukkan kasih sayang kepada penyokong, turunkan sedikit harga tiket dan penuhi setiap stadium kerana kami benar-benar memerlukan mereka,” tambahnya.
Dalam masa sama, Martinez mengakui ketiadaan Messi memberikan cabaran tersendiri kepada Argentina, namun menegaskan pasukan itu masih mempunyai ramai pemain berstatus juara dunia yang boleh menjadi inspirasi kepada generasi baharu.
“Tanpa Leo, saya tahu perkara ini sukar. Tetapi pada akhirnya, pemain-pemain ini adalah contoh kepada orang lain. Kami ialah juara dunia dan terdapat ramai pemain muda yang memerlukan sokongan serta kasih sayang terhadap Argentina,” jelasnya.
🚨JUST IN: Emi Martinez on the EMPTY STADIUMS for Argentina games:
"Maybe we need to organize charity initiatives to fill the stands. Messi is gone: people came mainly to see him… we have to make the fans fall in love with us all over again. We got to LOWER ticket prices and… pic.twitter.com/h4xzrAK23p
— Polymarket FC (@PolymarketFC) November 19, 2026
Argentina kini turut memberi tumpuan kepada proses memperkenalkan generasi baharu selepas kejayaan mereka di pentas antarabangsa.
Bagi Martinez, tugas mengembalikan kemeriahan stadium perlu bermula dengan usaha menghargai penyokong, termasuk memastikan harga tiket tidak menjadi penghalang untuk mereka hadir memberikan sokongan.