Mehdi Taremi mengkritik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan presidennya, Gianni Infantino susulan apa yang disifatkannya sebagai Piala Dunia yang ‘gagal’.

Kapten Iran itu turut menuduh pihak penganjur gagal menyelesaikan masalah logistik serta isu visa yang berlarutan sepanjang kejohanan.

Ketua jurulatih Iran, Amir Ghalenoei turut menggesa FIFA supaya lebih tegas terhadap tuan rumah kejohanan selepas mendakwa skuadnya menerima layanan yang tidak adil.

Masalah di luar padang yang dihadapi Iran membayangi keputusan seri yang diperoleh hasil kerja keras menentang Mesir apabila Taremi secara terbuka mengkritik FIFA berhubung layanan yang diterima pasukannya sepanjang kejohanan.

Skuad Iran terjejas akibat masalah visa yang menghalang 11 pegawai kanan pasukan daripada menyertai mereka. Pada masa sama, perjalanan berulang-alik antara kem latihan di Tijuana dan lokasi perlawanan di Amerika Syarikat turut menimbulkan cabaran logistik yang besar.

Taremi Anggap FIFA Gagal

Taremi mendakwa FIFA gagal menyelesaikan isu berkenaan meskipun Gianni Infantino sebelum ini memberi jaminan selepas perlawanan pembukaan Iran menentang New Zealand.

“Ini adalah Piala Dunia yang gagal, benar-benar gagal,” ujar Taremi menurut sumber laporan Goal.

“FIFA sepatutnya menyelesaikan setiap masalah di sini, namun malangnya mereka gagal berbuat demikian sejak awal kejohanan. Encik Infantino datang ke bilik persalinan kami selepas perlawanan pertama menentang New Zealand dan berkata, ‘Ini baru permulaan.’”

“Kami tidak mempunyai pegawai logistik bersama pasukan kerana mereka tidak mendapat visa. Bagaimana mungkin kami perlu sentiasa berulang-alik dari Tijuana?”

“Kami menyayangi penduduk Tijuana. Kami juga menyayangi Mexico. Mereka sangat baik dan kami menghormati mereka, tetapi sebagai pemain profesional yang beraksi dalam kejohanan bertaraf profesional, keadaan ini tidak sepatutnya berlaku.

“Ia tidak adil. Pada pandangan kami, ia memang tidak adil. Jika FIFA menganggap ia adil, itu terpulang kepada mereka. Tetapi bagi kami, ia tidak adil. Siapa yang mahu membantu kami? Jika mereka memang mahu kami tersingkir, baiklah, kami akan tersingkir.”

“Namun, ini tetap tidak adil. Kami tidak mempunyai pegawai pemulihan atau pegawai logistik untuk membantu pasukan. Kami sudah berkali-kali mengadu mengenai perkara ini, tetapi tiada siapa yang membantu, langsung tiada.”

Sumber