Teksi terbang bakal diperkenalkan sebagai perkhidmatan pengangkutan yang akan menjemput bakal jemaah haji dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah ke hotel di Makkah.

Menurut laporan, Pengarah Komunikasi dan Korporat Kumpulan Saudia, Abdullah Al-Shahrani berkata Saudi Arabian Airlines sedang membuat persiapan untuk menggunakan teksi udara sebagai mod pengangkutan baharu semasa musim haji.

Baca Juga:

Beliau berkata Kumpulan Saudia bersetuju membeli 100 jet Lilium, pesawat lepas landas dan pendaratan menegak elektrik Jerman (eVTOL), untuk ulang-alik antara lapangan terbang Jeddah dan hotel Makkah berhampiran Masjidil Haram dan tempat suci lain.

Jelasnya, teksi terbang itu boleh memuatkan empat hingga enam jemaah haji dan pesawat itu juga menampilkan kabin unik yang menawarkan beberapa pilihan untuk susunan tempat duduk.

Ia juga dilengkapi dengan ruang yang luas bagi menyediakan keperluan dan pengalaman baik buat tetamu elit.

Menurut Al-Shahrani, Saudi Airlines akan berusaha untuk menyokong Lilium dengan menyediakan semua kelulusan kawal selia yang diperlukan untuk mengendalikan pesawat jenis ini di pasaran Saudi.