Nasib berbeza dialami Lee Zii Jia dan gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani pada pusingan pertama Kejohanan Terbuka China 2024 yang berlangsung di Changzou sebentar tadi.

Ketika gandingan yang kini sudah bergerak secara profesional itu meraih kemenangan untuk melangkah ke pusingan 16, Zii Jia terpaksa menelan kepahitan tewas mudah kepada Koki Watanabe dari Jepun.

Baca Juga:

Sze Fei dan Izzudin terpaksa beraksi hingga ke set penentuan untuk menewaskan wakil tuan rumah yang berada di ranking ke-21 dunia, Chen Bo Yang-Liu Yi 17-21, 21-12, 21-19.

Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut dilakarkan pasangan negara itu ke atas Bo Yang-Liu Yi dimana sebelum ini mereka menang ‘straight set’ di Terbuka Amerika Syarikat 2023.

Manakala, lain pula ceritanya buat Zii Jia apabila beliau gagal menggunakan kelebihan mendahului 9-1 pada set pertama.

Jurang mata begitu jauh itu berjaya dihambat oleh Koki Watanabe yang mendapatkan satu demi satu mata hingga menyaksikan Zii Jia melakukan banyak kesilapan.

Kesempatan itu diambil Watanabe yang semakin yakin untuk memenangi set pertama dengan mata 21-15.

Kemenangan set pertama itu jelas meningkatkan moral Watanabe yang kini menghuni ranking ke-14 dunia untuk tampil dengan lebih meyakinkan.

Ia jelas dibuktikan dengan deretan mata yang diraihnya hingga pada satu ketika mendahului Zii Jia dengan kedudukan 15-1.

Satu keadaan yang jelas membuatkan Zii Jia berada dalam tekanan dan memberikan ruang seluas-luasnya buat Koki Watanabe untuk mengesahkan kemaraan dengan kemenangan 21-2.

Dalam perkembangan lain pada kejohanan tersebut, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menundukkan pasangan suami isteri dari Singapura, Terry Hee Yong Kai-Jessicea Tan Wei Han 21-13, 21-15 dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun menang ke atas Xi Hao Nan-Zeng Wei Han (China) 21-17, 21-19.

Manakala tiga lagi wakil negara, Junaidi Arif-Yap Roy King, Goh Jin Wei, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong tewas kepada lawan masing-masing.

Kejohanan Terbuka China 2024 merupakan saingan berprestij dengan status Super 1000 dimana menawarkan mata ranking dan hadiah wang tunai lumayan kepada pemenang.