Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie meneruskan rentak cemerlang di Changzhou apabila berjaya melangkah ke pentas final Kejohanan Terbuka China 2024.

Lebih manis kemaraan itu disahkan selepas pasangan suami isteri tersebut menumpaskan wakil tuan rumah, Chen Xing-Zhang Chi menerusi ‘straight set’ dalam tempoh masa 50 minit.

Baca Juga:

Meskipun berdepan lawan yang berada di ranking ke-22 dunia, Soon Huat dan Shevon Lai tidak diberikan laluan mudah sepanjang perlawanan.

Ia jelas dibuktikan dengan jurang mata cukup rapat yang menyaksikan kedua-dua pasangan terikat 17-17 pada satu ketika di set pertama. Namun, ketenangan jelas memihak gandingan negara itu untuk mencatatkan kemenangan 21-18.

Skrip yang sama berlaku pada set kedua dimana mereka saling kejar-mengejar mata yang akhirnya menyaksikan Goh Soon Huat-Shevon Lai mengesahkan kemaraan ke final dengan kemenangan 21-18.

Kemenangan manis diraih Soon Huat-Shevon itu sekali gus telah menebus kekecewaan mereka yang tewas kepada lawan sama pada Terbuka Jepun, Ogos lalu.

Berdasarkan rekod, ia merupakan kemenangan kedua daripada empat pertemuan kedua-dua pasangan pada tahun ini.

Menanti Soon Huat-Shevon di final esok ialah antara pilihan kedua yang merupakan sandaran utama tuan rumah, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping atau wakil Indonesia, Dejan Ferdinansyah -Gloria Emanuelle Widjaja.

Selepas menjuarai Terbuka Switzerland (Super 300) dan Malaysia Masters (Super 500) pada tahun ini, gandingan negara itu pastinya mengimpikan pula mahkota kejuaraan Terbuka China yang berstatus Super 1000.