Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie terlepas peluang untuk mencipta sejarah baharu dalam karier mereka selepas tunduk kepada Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping pada aksi final kejohanan Terbuka China 2024 yang berlangsung sebentar tadi.

Beraksi di hadapan penyokong tuan rumah yang membanjiri Changzhou Olympic Sport Centre membuatkan pasangan negara itu bermula dengan sedikit goyah.

Baca Juga:

Soon Huat-Shevon memberikan ruang buat lawan untuk mendahului 4-1, namun selepas berjaya menyerap tekanan tersebut mereka tampil dengan lebih baik bagi mengikat kedudukan 8-8.

Keadaan tersebut jelas meningkatkan lagi moral pasangan suami isteri itu untuk tampil lebih garang hingga mampu mendahului 17-12.

Meskipun lawan memberikan tentangan sengit pada lewat set pertama, ia tidak mengganggu rentak Soon Huat dan Shevon untuk menang dengan 21-16.

Soon Huat-Shevon yang kini berada di ranking ke-12 dunia itu memulakan set kedua dengan cukup garang apabila berupaya mendahului lawan dengan mata 5-0.

Namun, Yan Zhe-Dong Ping dengan tenang mengutip satu persatu mata bagi merapatkan jurang mata kepada 4-5 sekali gus kembali memberikan tekanan kepada wakil negara itu.

Permainan selepas itu semakin menarik untuk disaksikan apabila Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping bangkit daripada ketinggalan 5-9 untuk mendahului 11-10 ketika rehat ‘interval’.

Gandingan ranking ketiga dunia itu tidak memberikan banyak ruang buat Soon Huat-Shevon untuk memberikan tentangan dimana mereka mencuri set kedua dengan kemenangan 21-14 bagi mengheret aksi ke set penentuan.

Permainan di set ketiga juga tidak kurang menariknya ditampilkan oleh kedua-dua pasangan dengan Soon Huat-Shevon cuba bangkit daripada ketinggalan 11-20 kepada 17-20 tetapi tolakan ke belakang oleh Soon Huat sekadar keluar untuk menghadiahkan kejuaraan buat Yan Zhe-Dong Ping.

Walaupun hanya bergelar naib juara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie membawa pulang hadiah wang tunai bernilai $70,000 (RM294,360.21 mengikut kadar terkini).