Pasangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun mencipta sensasi dalam Kejohanan Badminton Terbuka China 2024 selepas berjaya mengejutkan juara dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae pada aksi pusingan 16, sebentar tadi.

Lebih manis, ia merupakan kemenangan kedua dilakarkan gandingan negara itu ke atas pasangan ranking ketiga dunia itu dalam kejohanan berstatus Super 1000.

Baca Juga:

Sebelum ini, Wei Chong-Kai Wun menundukkan Min Hyuk-Seung Jae dalam Terbuka Indonesia 2024 yang berlangsung pada April lalu.

Berdepan lawan yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Terbuka Hong Kong minggu lalu, Wei Chong dan Kai Wun jelas berdepan tugas sukar untuk meraih kemenangan.

Namun, kesukaran itu berjaya diterjemahkan kepada kemenangan susulan aksi bertenaga dan lebih tenang ditampilkan oleh Wei Chong-Kai Wun sepanjang perlawanan.

Ia jelas dibuktikan dengan kemenangan 21-18, 21-19 untuk menempah pertemuan rakan senegara yang akan bersaing sesama sendiri sebentar lagi iaitu Goh Sze Fei-Nur Izzudin dan Junaidi Arif-Yap Roy King.

Satu keadaan yang pastinya sudah menjamin sekurang-kurangnya satu wakil negara akan beraksi di pentas separuh akhir pada Sabtu ini.

Sementara itu pasangan beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin turut meneruskan kemaraan apabila menumpaskan rakan senegara, Yap Roy King-Valeree Siow 21-9, 21-15.

Menanti mereka di suku akhir esok ialah Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja yang menundukkan pasangan beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei 21-14, 21-11.

Manakala cabaran Pearly Tan-M. Thinaah dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing terhenti selepas mereka tewas kepada lawan masing-masing.

Selain Junaidi Arif-Yap Roy King yang akan turun beraksi menentang Sze Fei-Nur Izzudin, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi akan menentang pasangan Chinese Taipei, Lee Fang-Chih-Lee Fang-Jen.