Gandingan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi memastikan Malaysia mempunyai tiga wakil pada aksi separuh akhir Kejohanan Terbuka China 2024 selepas berjaya menundukkan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Changzhou itu, Yew Sin-Ee Yi bagaimanapun tidak diberikan laluan mudah untuk mara apabila mereka terpaksa mengharungi ‘rubber set’.

Baca Juga:

Wakil Indonesia yang merupakan bekas pasangan ranking pertama dunia itu bermula garang dengan mencatatkan kemenangan pada set pertama 21-14 dalam tempoh masa 15 minit.

Tersentak dengan kekalahan tersebut, anak buah Rosman Razak dan Teo Kok Siang itu memperkemaskan aksi pada set kedua untuk menang 21-17 walaupun Fajar-Rian cuba untuk bangkit mengejar pada lewat permainan.

Kecemerlangan itu berterusan pada set penentuan dimana pasangan negara tersebut mengurangkan kesilapan-kesilapan mudah untuk memastikan slot ke separuh akhir esok menjadi milik mereka dengan kemenangan 21-14.

Menanti Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di separuh akhir esok ialah pemenang antara wakil tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu  dan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark yang akan beraksi sebentar lagi.

Sementara itu, cabaran negara esok akan turut disandarkan kepada Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani dan pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

Sze Fei dan Nur Izzudin berjaya menundukkan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun 21-19, 21-18 untuk menghadapi pasangan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin.

Manakala, Soon Huat-Shevon pula yang menewaskan pilihan ketiga kejohanan, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dengan kemenangan  23-21, 21-16 bagi menempah pertemuan dengan satu lagi pasangan China iaitu Cheng Xing-Zhang Chi.