Pasangan beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah mempamerkan aksi cemerlang untuk menempah slot ke pentas final kejohanan badminton Terbuka Hong Kong 2024, sebentar tadi.

Lebih manis kejayaan tersebut dilakarkan Pearly dan Thinaah selepas berjaya menundukkan wakil Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee yang merupakan gandingan ranking kedua dunia.

Baca Juga:

Ia juga merupakan kemenangan kedua berturut-turut mereka ke atas pilihan pertama kejohanan itu dimana Pearly-Thinaah menundukkan Ha Na-So Hee pada separuh akhir Terbuka Korea Selatan pada 31 Ogos lalu.

Satu aksi yang cukup sengit dapat disaksikan sepanjang perlawanan apabila pasangan negara menang set pertama dengan keputusan 22-20 dalam tempoh 21 minit.

Tidak mahu tewas ‘straight set’, Ha Na dan So Hee memperkemaskan aksi untuk mencuri set kedua dengan kemenangan 21-17 dalam aksi yang berlanjutan selama 28 minit bagi mengheret perlawanan ke set ketiga.

Kelebihan 13-10 yang dimiliki tidak disia-siakan oleh Pearly Tan-M. Thinaah untuk mengesahkan kemaraan ke final dengan kemenangan 21-15.

Menanti pasangan negara itu di perlawanan akhir esok ialah pemenang satu lagi aksi separuh akhir yang menemukan pilihan keempat kejohanan dari Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong dan Liu Sheng Shu-Tan Ning (pilihan kedua).

Selepas dirundung masalah kecederaan, persembahan Pearly-Thinaah dilihat semakin meningkat sejak neraksi di Sukan Olimpik 2024, Paris setelah menyaksikan mereka mara ke separuh akhir.

Momentum positif itu diteruskan dengan kejayaan muncul naib juara kejohanan Terbuka Korea Selatan pada 1 April lalu dan kini satu lagi pentas final bakal diharungi mereka.

Terbuka Hong Kong 2024 merupakan kejohanan dalam kalendar Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) yang berstatus Super 500.