Lee Zii Jia gagal meneruskan kecemerlangan dalam saingan Terbuka India 2024 selepas tewas pada aksi suku akhir yang berlangsung sebentar tadi.

Perjalanan Zii Jia dalam aksi di  K. D. Jadhav Indoor Stadium, New Delhi itu dihentikan oleh Kodai Naraoka dalam perlawanan yang berlanjutan hingga ‘rubber set’.

Baca Juga:

Mendapat sokongan padu penyokong di sana, Zii Jia pada mulanya kelihatan berada di landasan tepat untuk mengukir kejayaan bertemu pemain ranking keenam dunia tersebut.

Ia dibuktikan apabila beliau cukup tenang melayani permainan rali yang dijelmakan Naraoka hingga memaksa lawan dari Jepun itu melakukan kesilapan mudah pada set pertama.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Zii Jia untuk memenangi set pertama dengan keputusan 21-13.

Terkenal dengan kebangkitan luar biasa sering dilakukannya, Naraoka tampil lebih kemas pada set kedua untuk memberikan kesukaran buat Zii Jia.

Naraoka bijak mencuri peluang bagi menjerat Zii Jia untuk mencatatkan kemenangan mudah 21-9 sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.

Hanya ketinggalan satu mata ketika rehat ‘interval’, Lee Zii Jia kemudiannya seperti kehilangan fokus yang menyaksikan beliau banyak menghadiahkan mata mudah buat Naraoka.

Naraoka akhirnya mengesahkan kemenangan 21-16 hasil tiga pukulan ‘return’ yang tersangkut di jaring daripada Zii Jia bagi membolehkan beliau ke separuh akhir.

Sementara itu dalam satu lagi aksi yang berlangsung lebih awal, pasangan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie tewas kepada pilihan kelima kejohanan, Jiang Zhen Bang-Wei Xia Yin 13-21, 13-21.

Terbuka India 2024 merupakan kejohanan badminton berstatus Super 750 yang pastinya menjanjikan mata ranking tinggi serta hadiah wang tunai lumayan.