Lee Zii Jia beraksi cemerlang untuk mara ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka India 2024 yang berlangsung di K. D. Jadhav Indoor Stadium, New Delhi.

Perseorangan nombor satu negara itu mempamerkan aksi bertenaga untuk menundukkan pemain ranking kelima dunia, Jonatan Christie menerusi kemenangan ‘straight set’.

Baca Juga:

Lebih manis, ia merupakan kemenangan kelima berturut-turut buat Zii Jia kepada pemain dari Indonesia tersebut dalam sembilan pertemuan sepanjang karier mereka.

Meskipun banyak melakukan kesilapan mudah, Zii Jia berupaya menyerap tekanan dengan baik untuk memenangi set pertama 21-15.

Mendapat tonik berguna susulan kemenangan set pertama tersebut, anak kelahiran Alor Setar itu tampil lebih garang dengan beberapa kali variasi pukulannya membuatkan Christie terkedu.

Kecemerlangan itu diteruskan hingga menyaksikan Lee Zii Jia mengesahkan kemaraan ke suku akhir dengan kemenangan 21-13.

Menanti beliau esok ialah pemenang antara pertembungan dua pemain Jepun, Kodai Naraoka yang merupakan pilihan kedua kejohanan dan Takuma Obayashi.

Sementara itu langkah ke suku akhir terlebih dahulu disahkan pasangan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang berjaya menundukkan Cheng Xing-Zhang Chi dari China, 26-24 21-10.

Pasangan kekasih itu akan menghadapi pilihan kelima dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin yang tewas kepada lawan masing-masing.

Terbuka India 2024 merupakan kejohanan badminton berstatus Super 750 yang pastinya menjanjikan mata ranking tinggi serta hadiah wang tunai lumayan.