Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia sah menerima jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menggalas tanggungjawab negara dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 yang akan berlangsung 13 hingga 18 Februari di Shah Alam.

Turun selaku tuan rumah serta juara bertahan, BAM sudah semestinya mahu menyediakan skuad terbaik dalam usaha sekali lagi menjulang trofi tersebut.

Baca Juga:

Perkembangan terkini mengenai kehadiran Zii Jia bagi memperkuatkan pasukan negara itu disahkan menerusi kenyataan rasmi dikeluarkan laman sosial rasmi Team LZJ.

“Menjejakkan kaki di tanah sendiri sebagai atlet profesional adalah luar biasa istimewa.”

“Tidak dapat digambarkan dengan tepat perasaan ketika mendengar penyokong tuan rumah bersorak buat anda sepanjang perlawanan.”

“Kejayaan yang amat kami inginkan dalam edisi Terbuka Malaysia ini tidak menjadi kenyataan.”

“Peluang kedua sukar diperoleh, terutama sekali peluang untuk bukan sahaja beraksi di Malaysia tetapi bersama pasukan Malaysia adalah sesuatu yang tidak boleh disia-siakan.”

“Justeru, kami mengesahkan bahawa Lee Zii Jia & ‘Team LZJ’ dengan hormatnya menerima jemputan Persatuan Badminton Malaysia untuk menyertai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia yang akan datang.”

“Apabila berada dalam keadaan sihat dan mampu, Lee Zii Jia & Team LZJ akan sentiasa menyahut seruan tugas negara.”

“Terima kasih kerana masih percaya dengan Lee Zii Jia untuk mewakili Malaysia.”

Lee Zii Jia turut merupakan sandaran negara ketika membantu Malaysia muncul juara BATC 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia Alam (SACC), Shah Alam.

Dua lagi mata skuad negara ketika menang 3-0 bertemu Indonesia pada perlawanan akhir disumbangkan oleh Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ng Tze Yong.

 

Sumber