Man Wei Chong-Tee Kai Wun melakar kejutan pada pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Indonesia 2024 selepas berjaya menundukkan juara dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae sebentar tadi.
Kejayaan ke atas lawan yang berada di ranking ketiga dunia itu menamatkan penantian kemenangan buat Wei Chong dan Kai Wun selepas mereka tunduk kepada Min Hyuk-Seung Jae dalam dua aksi sebelum ini di Terbuka Korea dan Malaysia Masters 2023.

Baca Juga:
- Saranan Mendiang Bapa Rintis Karier Gemilang Rexy Mainaky Takluk Dunia Badminton
- Rosak Semasa Perlawanan, Jurulatih Malaysia Dipuji Beri Kasut Sendiri Kepada Pemain Badminton Jamaica
- Hadir Ke Sukan Asia Di China, Penonton Badminton Bersorak Lihat Lee Chong Wei
Pasangan negara itu bermula baik dimana pada satu ketika hampir mencuri set pertama dengan mendahului 20-16, namun mereka gagal menyerap tekanan hingga membolehkan Min Hyuk dan Seung Jae menang 22-20.
Mendapat tonik berguna diberikan Rexy Mainaky dan Tan Bin Sheng pada rehat set pertama, Wei Chong-Kai Wun yang menghuni ranking ke-20 dunia tampil lebih baik.
Mereka meraih kemenangan set kedua 21-16 untuk mengheret aksi ke set penentuan yang menyaksikan kecemerlangan itu diteruskan dengan kemenangan 21-17.
Sementara itu pada aksi lebih awal, Lee Zii Jia dan Pearly Tan-M. Thinaah turut mengesahkan tempat ke pusingan kedua.
Zii Jia menewaskan Angus Ng Ka Long dari Hong Kong 21-17, 21-16 manakala Pearly dan Thinaah berhempas pulas sebelum berjaya menundukkan pasangan Chinese Taipei, Sun Shuo Yun-Y Chien Hui 21-19, 22-20.
Manakala empat lagi wakil iaitu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, Choong Hon Jian-Haikal Nazri dan oh Jin Wei tewas kepada lawan masing-masing.
Terbuka Indonesia 2024 merupakan kejohanan berstatus Super 1000 dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang menawarkan hadiah lumayan serta mata ranking tinggi.