Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan momentum cemerlang selepas berjaya melangkah ke final Kejohanan Badminton Terbuka Singapura 2025.

Beraksi di Singapore Indoor Stadium, Kallang yang turut mendapat sorakan penyokong Malaysia, Aaron dan Wooi Yik bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menundukkan bekas beregu nombor satu dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Baca Juga:

Ini merupakan kemaraan ke pentas final buat kali ketiga berturut-turut dalam siri World Tour dilakarkan Aaron-Wooi Wik dimana sebelum ini mereka menjuarai Terbuka Thailand dan naib juara Malaysia Masters, hanya dalam tempoh tiga minggu.

Bertambah manis, ia merupakan kemenangan ke-10 buat Aaron-Wooi Yik dalam 13 pertemuan menentang lawan tersebut.

Aksi menarik dengan permainan saling kejar-mengejar mata dijelmakan oleh kedua-dua pasangan yang terikat 18-18.

Terbuka Malaysia
Kredit Foto: NSTP/ASWADI ALIAS

Kesilapan dilakukan pasangan negara itu pada saat genting membolehkan Rankireddy-Shetty menang set pertama 21-19.

Tidak mahu impian ke final mereka terhenti, Aaron-Wooi Yik memperkemaskan aksi dengan corak permainan lebih agresif untuk menang set kedua 21-10 bagi mengheret aksi ke set penentuan.

Rentak cemerlang tersebut diteruskan anak buah Herry Iman Pierngadi itu sekali gus memastikan kemaraan ke final dengan kemenangan 21-18 walaupun lawan cuba bangkit melawan dengan tujuh mata berturut-turut.

Lawan Sukar Di Final Terbuka Singapura 2025

Menanti Aaron Chia-Soh Wooi Yik di pentas final esok ialah gandingan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae yang menundukkan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-17, 21-16.

Terbuka Singapura 2025 merupakan kejohanan dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berstatus Super 750 yang menawarkan mata ranking tinggi dan hadiah wang tunai lumayan.