Lee Zii Jia menepati ramalan apabila berjaya menundukkan Jeon Hyeok Jin dari Korea Selatan untuk mara ke peringkat suku akhir kejohanan Terbuka Thailand 2024 yang berlangsung di Bangkok.
Perseorangan utama negara itu menyelamatkan kem negara selepas tiga wakil iaitu Leong Jun Hao, Yap Roy King-Valeree Siow dan Choong Hon Jian-Go Pei Kee sebelum ini tewas kepada lawan masing-masing.
Baca Juga:
- Video: Aksi Padu Lee Zii Jia Pukau Peminat Badminton Dunia
- Lee Zii Jia: Saya Tidak Akan Menyerah Kalah
Berada di ranking lebih baik berbanding Hyeok Jin, Lee Zii Jia bagaimanapun terpaksa bekerja keras setelah beraksi hingga ke mata ‘deuce’ dan meraih kemenangan 22-20.
Tidak mahu skrip yang sama berulang pada set kedua, pemain kelahiran Alor Setar itu tampil cukup bertenaga untuk menguasai permainan dengan cemerlang.
Ia jelas dibuktikan dengan kemenangan 21-7 dilakarkan untuk memastikan slot ke suku akhir menjadi milik beliau dan akan berhadapan dengan wakil China, Lu Guang Zu yang terlebih dahulu menumpaskan Koki Watanabe.
Hasrat untuk melihat Jun Hao turut meneruskan perjuangan tidak kesampaian selepas beliau tewas kepada juara dunia, Kunlavut Vitidsard 22-20, 14-21, 23-21 dalam aksi yang cukup mendebarkan.
Roy King-Valeree Siow pula tewas kepada seorang lagi bintang tuan rumah iaitu Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 11-21, 16-21 manakala Hoon Jia-Pei Kee dikecewakan pasangan Indonesia, Rehan Kusharjanto-Lisa Kusumawati 15-21, 15-21.
Dua pasangan beregu lelaki akan turut sebentar lagi yang menyaksikan Arif Junaidi-Yap Roy King bertemu Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard (Denmark) dan Hon Jian-Haikal Nazri pula akan berdepan Pharanyu Kaosamaan-Worrapol Thongsa-Nga (Thailand).