Lee Zii Jia menamatkan penantian untuk meraih kejuaraan sulung pada tahun ini apabila mudah mengesahkan trofi Terbuka Thailand 2024 setelah berjaya menundukkan Angus Ng Ka Long dari Hong Kong, sebentar tadi.
Kejayaan yang turut mengulangi pencapaiannya muncul juara dalam kejohanan sama pada edisi 2022.
Baca Juga:
- Terbuka Thailand 2024: Zii Jia Semakin Hampiri Kejuaraan Sulung Tahun Ini
- Terbuka Thailand 2024: Atasi Lu Guang Zu, Lee Zii Jia Ke Separuh Akhir
- Terbuka Thailand 2024: Lee Zii Jia Mara Ke Suku Akhir
Ia merupakan kemenangan keempat dilakarkan Zii Jia terhadap lawan berusia 29 tahun itu dalam lapan pertemuan sesama sendiri mereka dalam kalender Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Berdepan lawan yang kini berada di ranking ke-27 dunia memperlihatkan Zii Jia cukup bersedia untuk menghadapi perlawanan akhir kesembilan dalam siri Jelajah Dunia itu.
Ia jelas dibuktikan apabila beliau tampil dengan cukup garang untuk memberikan kesukaran buat Ng Ka Long dan memenangi set pertama dengan 21-11.
Momentum cemerlang itu dikekalkan Zii Jia pada set kedua yang menyaksikan variasi pukulannya sering membuatkan lawannya berada dalam keadaan tertekan.
Kesempatan itu diambil dengan sebaik-sebaiknya oleh Lee Zii Jia untuk memastikan kejuaraan dibawa pulang ke Malaysia dengan kemenangan mudah 21-10.
Dengan kemenangan manis dicatatkan di Nimubutr Stadium, Bangkok itu, Lee Zii Jia membawa pulang wang tunai bernilai $31,500 manakala Angus Ka Long pula meraih $15,690.
Misi seterusnya buat beliau selepas ini adalah dalam kejohanan Malaysia Masters yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula Selasa hingga Ahad depan.
Malaysia Masters merupakan kejohanan anjuran BWF yang berstatus Super 500. Selain Zii Jia, Viktor Axelsen akan turut beraksi.