Pada usia 18 tahun, ketika remaja lain mungkin sedang sibuk memikirkan hal sambung belajar atau merancang percutian bersama rakan-rakan, Eusoff Azman pula mencatat sejarah peribadi yang cukup luar biasa.

Anak muda yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur ini telah dijemput menjadi tetamu Allah, sekali gus meletakkan namanya sebagai antara jemaah haji termuda dari Malaysia bagi musim 1447H/2026M.

Lebih istimewa, kejayaan melangkah ke Tanah Suci pada usia muda ini adalah hasil ‘magis’ perancangan teliti ibunya sejak belasan tahun lalu.

Wawasan Jauh Seorang Ibu

'Terima Kasih Mak' - Berkat Simpanan Ibu Sejak Bayi, Remaja 18 Tahun Bergelar Jemaah Haji Termuda 2026
Sumber Gambar: Remaja

Menurut laporan Sinar Harian, Semuanya bermula pada tahun 2008. Ketika Eusoff masih merah menyala di dalam buaian, ibunya telah pun membuka akaun simpanan dan mendaftarkan namanya di bawah Lembaga Tabung Haji (TH). Sedikit demi sedikit wang disimpan, membuahkan hasil yang tidak ternilai nilainya hari ini.

“Terima kasih mak. Kalau bukan kerana mak mula menyimpan dan merancang sejak saya masih kecil, mungkin saya tidak sampai ke sini hari ini. Alhamdulillah, tahun ini nama saya dipanggil untuk menunaikan haji,” luah Eusoff penuh kesyukuran.

Bagi Eusoff, pemergiannya ke Mekah membuka matanya tentang erti kasih sayang sebenar seorang ibu.

“Apabila sampai di Tanah Suci, baru saya benar-benar faham. Mak bukan sekadar merancang masa depan saya di dunia, tetapi rupa-rupanya mak juga sudah memikirkan perjalanan akhirat saya sejak saya bayi lagi.”

Merantau Sendiri, Namun Tidak Pernah Sunyi

'Terima Kasih Mak' - Berkat Simpanan Ibu Sejak Bayi, Remaja 18 Tahun Bergelar Jemaah Haji Termuda 2026
Sumber Gambar: Remaja

Anak keempat daripada enam beradik ini memberanikan diri menyahut panggilan haji secara bersendirian. Ibubapa dan beberapa orang adik-beradiknya yang lain sudah pun menunaikan rukun Islam kelima itu sebelum ini, juga berkat budaya menabung keluarga mereka.

Ini merupakan pengalaman pertama Eusoff menjejakkan kaki ke luar negara tanpa ditemani keluarga. Walaupun tanpa waris di sisi, bekas pelajar Maktab Tentera Diraja (RMC) ini sedikit pun tidak berasa kekok atau terasing.

Rahsianya? Dia dikelilingi rakan sebilik yang melayannya dengan penuh kasih sayang.

“Saya paling muda dalam kumpulan kerana rakan sebilik rata-ratanya dalam lingkungan usia 50-an dan 60-an. Namun, mereka melayan saya ibarat anak sendiri. Mereka sentiasa mengambil berat, sering bertanya sama ada saya sudah makan atau sudah pulang ke bilik.”

“Di sini saya bukan sahaja belajar tentang ibadah haji secara praktikal, tetapi juga tentang erti kehidupan, cara menghormati orang yang lebih tua, dan nilai persaudaraan sesama Islam,” tambahnya lagi.

Inspirasi Buat Ibu Bapa Muda

Merenung kembali perjalanannya, Eusoff sedar bahawa peluang berada di Tanah Suci pada usia ini adalah manifestasi pengorbanan ibu bapanya yang konsisten menyimpan tanpa jemu.

Dia amat berharap kisah perjalanannya ini dapat membuka mata dan menyuntik inspirasi kepada pasangan ibu bapa muda di luar sana agar mula merancang perjalanan haji anak-anak seawal mungkin.

“Mungkin anak-anak tidak faham sekarang, tetapi suatu hari nanti mereka pasti akan sedar. Kasih sayang ibu bapa itu bukan sekadar membesarkan kita dengan cukup makan pakai, tetapi juga tentang menyediakan ‘jalan’ untuk kita sampai ke Baitullah.”

Kisah Eusoff membuktikan bahawa dengan niat yang betul dan perancangan kewangan yang konsisten sejak awal, impian untuk melihat anak-anak sujud di depan Kaabah pada usia muda bukanlah satu angan-angan kosong.