Pemain bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman meluangkan masa untuk menziarahi pemain Selangor, Faisal Halim selepas membantu pasukannya memenangi Piala FA 2024/2025 baru-baru ini.
Menerusi gambar yang dimuat naik di laman Instagram Story miliknya, Arif menziarahi Faisal di rumahnya sambil mengucapkan maju jaya kepada rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan itu.
Baca Juga:
- Arif Aiman Dikaitkan Dengan Perpindahan Ke Kelab Gergasi Iran
- Ini Sebab Faisal Halim Tidak Dipanggil Hadapi Pestabola Merdeka
- Faisal Halim Pakai Topeng Rekaan Khas Penyelidik Universiti Malaya
“Segera sembuh dan semoga dipermudah urusan Mickey (Faisal Halim),” tulis Arif Aiman.
Hantaran itu kemudiannya disambut Faisal yang turut menzahirkan ucapan terima kasih.
“Terima kasih Messi (Arif Aiman) datang melawat dan bagi semangat. Selamat maju jaya untuk perlawanan nanti,” kata Faisal Halim.

Ini adalah gambar pertama buat kedua-dua pemain itu sejak Faisal disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli belah pada 5 Mei lalu.
Sehingga kini, pelaku jenayah itu masih belum ditangkap manakala Mickey pula sudah kembali beraksi selepas menjalani proses pemulihan yang cukup panjang dan getir.
Bagi Arif pula, beliau akan beraksi bersama skuad kebangsaan dalam kejohanan Pestabola Merdeka 2024 akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil dari 4 hingga 8 September 2024.
Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2024 iaitu Separuh Akhir menentang Filipina pada Rabu, 4 September 2024, jam 9.00 malam. Satu lagi perlawanan Separuh Akhir menemukan Lubnan dan Tajikistan pada hari yang sama, jam 4.30 petang.
Pemenang kedua-dua perlawanan tersebut akan bertemu di Final pada Ahad, 8 September 2024, jam 9.00 malam manakala dua pasukan yang tewas pada Separuh Akhir akan bertemu untuk perlawanan Penentuan Tempat Ketiga pada hari sama, jam 4.30 petang.