Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun ditahan kerana disyaki terbabit membaling bom petrol sehingga mengakibatkan sebuah kereta terbakar di Taman Damai Jaya, Skudai.

Memetik Harian Metro, difahamkan remaja terbabit mengambil upah daripada sindiket pinjaman wang tanpa lesen untuk melakukan ugutan jenayah terhadap peminjam.

Dalam operasi penangkapan tersebut, polis turut merampas dua notis ugutan yang masing-masing tertera nombor telefon Singapura dan ayat ‘Owe money pay today is a warning if you still don’t want reply I will come burn’.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, terdahulu, pihaknya menerima laporan dibuat seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun berkaitan kejadian itu.

“Pada kejadian jam 3 pagi itu, mangsa berada di rumah dan menyedari keretanya yang diparkir di perkarangan rumah dalam kawasan berpagar, terbakar.

“Hasil siasatan, anggota Balai Polis Nusa Bestari bersama-sama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menahan suspek, jam 3.50 pagi,” katanya pada kenyataan baru-baru ini.

Beliau berkata, hasil semakan, suspek tiada rekod lampau serta didapati negatif dadah.

“Suspek dikatakan menerima upah daripada along untuk membuat ugutan jenayah dengan cara khianat menggunakan api ke atas kediaman mangsa yang gagal melunaskan pinjaman wang.

“Selain notis ugutan, kami turut merampas antaranya dua botol kaca serta satu tong petrol,” katanya.

Menurut Kumarasan, suspek kini direman enam hari bermula semalam, sehingga 2 Disember ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kerana ugutan jenayah melalui komunikasi tanpa nama.